KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta agensi di bawahnya mengambil langkah proaktif bagi membantu rakyat mendepani cabaran krisis bekalan global dan tekanan ekonomi semasa termasuk menurunkan kadar sewaan premis, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata langkah itu selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta komitmen KKDW dalam memperkukuh Agenda Ekonomi Desa Nasional melalui pendekatan lebih menyeluruh, responsif dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat, pembangunan usahawan desa serta pengukuhan ekonomi luar bandar.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata KKDW telah merekodkan penjimatan sekurang-kurangnya RM250 juta yang tidak melibatkan dana projek pembangunan luar bandar.
“Penjimatan ini diperoleh hasil daripada langkah pelarasan perbelanjaan dan penyusunan semula program secara lebih efisien.
“Hasil penjimatan itu akan dikembalikan kepada Kementerian Kewangan bagi menyokong keperluan subsidi bahan api negara kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Ahmad Zahid berkata Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersetuju menurunkan kadar sewaan sehingga 20 peratus melibatkan 7,135 lot premis perniagaan di seluruh negara bagi membantu mengurangkan beban usahawan dan peniaga.
Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) pula menawarkan diskaun sewaan sehingga 20 peratus melibatkan lebih 400 lot premis termasuk kadar minimum sewa serendah RM100 sebulan bagi membantu memperkukuh aliran tunai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Inisiatif lain melibatkan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang melaksanakan pengurangan kadar sewa premis perniagaan antara 10 hingga 20 peratus melibatkan 355 premis seliaan agensi tersebut.
Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) juga bersetuju melaksanakan pengurangan kadar sewaan sebanyak 20 peratus melibatkan 552 unit premis perniagaan KETENGAH bagi membantu meringankan beban usahawan dan peniaga.
“Saya percaya langkah yang dilaksanakan ini akan membantu memperkukuh daya tahan ekonomi rakyat dan usahawan desa dalam menghadapi cabaran semasa,” katanya.
Ahmad Zahid berkata KKDW terus komited memperluas inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat demi memastikan pembangunan ekonomi desa terus mampan, inklusif dan berdaya tahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial