IPOH, 16 Mei (Bernama) -- Kerajaan akan melaksanakan penstrukturan semula kurikulum Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dikenali sebagai TVET 2.0 yang bakal memperkasakan bidang teknologi tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata TVET 2.0 yang bakal dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan depan akan memfokuskan kepada mata pelajaran berteraskan teknologi tinggi dan kemahiran berimpak tinggi bagi memenuhi keperluan industri masa depan.
“Ertinya di samping mengekalkan kursus tradisional yang ada, kita akan mengukuhkan dalam bidang robotik, Internet Kebendaan (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI), tenaga boleh baharu serta bidang lain yang sangat diperlukan pasaran.
“Selain itu, dalam hal ini kita juga sedang melihat di mana peluang yang lebih luas (untuk) diberikan kepada pekerja gig, terutama penghantar makanan dan barangan, serta pekerja dalam industri perfileman dan juga dalam industri sokongan yang lain termasuk seni dan kebudayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Aim TVET Negeri Perak dan Kelab Kemahiran Aim TVET di Bulatan Azlan Shah, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Datuk Khairudin Abu Hanipah.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan juga akan memberikan tumpuan kepada bidang berpotensi tinggi termasuk animasi susulan peningkatan permintaan industri global.
“Hal ini kerana banyak syarikat animasi di peringkat dunia telah memberikan kerja subcontracting bagi pengeluaran animasi ini kepada syarikat di Malaysia.
“Namun terdapat kekurangan dari segi tenaga (dalam bidang) animasi ini dan kita berharap dengan TVET 2.0 lebih ramai lagi yang akan mencebur dalam bidang ini, Insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kerajaan kini sedang meneliti cadangan penggubalan Akta dan Suruhanjaya TVET bagi memperkukuh ekosistem kemahiran negara.
Beliau berkata akta itu belum lagi dikemukakan kepada Kabinet untuk mendapat kelulusan dasar bersama-sama dengan Suruhanjaya TVET, tetapi satu sesi libat urus sedang diadakan dengan 12 kementerian yang dikoordinasikan di bawah MTVET (Majlis TVET).
“Kita juga akan pergi ke negeri-negeri untuk mendapat maklum balas bagi sidang sesi libat urus ini untuk mencari kaedah bagaimana akta dan suruhanjaya itu akan dapat memacu pembangunan TVET bukan hanya untuk 2030 tetapi melepasi 2050.
“Ini kerana ketika itu Insya-Allah Malaysia akan menjadi sebuah negara maju yang mempunyai tenaga mahir terbesar di rantau ASEAN ini,” katanya sambil menambah Akta TVET itu juga akan memperkukuhkan lagi sistem pendidikan sedia ada.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial