GUA MUSANG, 18 Mei (Bernama) -- Seorang pelajar tingkatan satu meninggal dunia ketika menerima rawatan selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga motosikal di Jalan Paloh 2 di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata mangsa disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Gua Musang pada 10.41 pagi tadi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 2 petang semalam ketika mangsa menunggang motosikal dari arah Paloh 1 menghala ke Paloh 3.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah motosikal Honda yang ditunggang remaja lelaki berusia 13 tahun sebelum hilang kawalan dan terjatuh. Mangsa kemudian dilanggar sebuah lagi motosikal Yamaha yang ditunggang seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dari arah belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sik berkata mangsa mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Chiku 3 sebelum dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.
“Mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik hospital berkenaan untuk proses bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di talian 09-912 1222 bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial