KOTA KINABALU, 20 Mei (Bernama) -- Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin menyuarakan kebimbangan terhadap gajah Borneo mengalami kecederaan pada bahagian belalai yang jelas kelihatan menerusi rakaman video dipercayai berlaku di Felda Kalabakan Selatan, Tawau.
Beliau berkata berdasarkan makluman pihak berkuasa, operasi mencari dan pemantauan di lapangan dijalankan sejak minggu lepas bagi mengesan haiwan itu.
“Semasa Sabah masih berhadapan dengan kes kematian gajah Borneo di Tongod yang sedang dalam siasatan, saya bimbang dengan kes melibatkan gajah cedera di kawasan Kalabakan.
“Pada 13 dan 14 Mei, operasi mencari dan pemantauan dijalankan namun gajah itu tidak ditemui menyebabkan intervensi menyelamat tidak dapat dimulakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kes itu juga mendapat perhatian umum selepas video tersebut tular di media sosial, menunjukkan gajah itu mengalami kecederaan jelas pada bahagian belalai.
Jafry berkata tindakan seterusnya akan bergantung kepada maklumat baharu, penampakan haiwan itu atau laporan diterima daripada pihak di lapangan.
Sementara itu, beliau berkata maklum balas pihak veterinar menyatakan kecederaan melibatkan belalai itu sangat kompleks.
“Jika prosedur membina semula atau penyambungan dipertimbangkan, kemungkinan untuk pemulihan berjaya dan mengembalikan fungsi asal belalai sangat rendah. Pakar veterinar juga menasihatkan usaha penyelamatan akan melibatkan lebih daripada rawatan luka segera.
“Bergantung kepada keadaan gajah itu, intervensi mungkin memerlukan pembedahan untuk membuang tisu rosak atau membina semula otot belalai yang koyak diikuti penjagaan selepas pembedahan intensif, rawatan harian, pengurusan makanan, penempatan sementara dan pemantauan berterusan sehingga satu hingga dua minggu,” katanya.
Selain itu, Jafry berkata pemerhatian awal daripada video mendapati luka telah menunjukkan beberapa tanda penyembuhan walaupun penutupan luka tidak sempurna.
Beliau berkata setakat ini, punca sebenar kecederaan itu masih dalam siasatan.
“Walaupun jerat kekal sebagai antara kemungkinan yang dinilai, ia belum disahkan sebagai punca kecederaan. Pihak berkuasa juga mempertimbangkan kemungkinan lain termasuk kecederaan disebabkan objek tajam.
“Antara kemungkinan sedang dikaji ialah sentuhan tidak sengaja dengan peralatan penuaian digunakan di ladang kelapa sawit, terutamanya jika peralatan itu ditinggalkan atau tersangkut di dalam blok ladang,” katanya.
Jafry menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sementara siasatan dan penilaian masih berjalan.
“Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah serta semua pihak berkepentingan untuk memantau kes ini dan mengambil tindakan sewajarnya apabila perlu,” katanya.
Beliau berkata gajah Borneo antara spesies hidupan liar paling ikonik di Sabah serta penting dalam warisan alam sekitar dan KePKAS komited untuk memastikan setiap kes melibatkan hidupan liar dikendalikan secara bertanggungjawab, profesional dan berdasarkan penilaian saintifik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial