KUALA TERENGGANU, 20 Mei (Bernama) -- Sebanyak 10 perahu layar membabitkan 26 pelayar dari enam negara berlabuh di Terengganu bersempena dengan Program Sail Malaysia Passage To The East Yatch Rally 2026 (Sail Malaysia).
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Sulaiman Sulong berkata pelayar dari Amerika Syarikat, Indonesia, Filipina, Singapura, Belanda dan Perancis itu akan singgah selama empat hari untuk menikmati keindahan alam semula jadi serta menyelami keunikan budaya masyarakat tempatan.
Beliau berkata lokasi terlibat termasuk Kampung Budaya Terengganu, tempat pembuatan batik Lambo Sari, Pasar Payang dan Pulau Kapas yang menjadi tarikan pelancong tempatan serta antarabangsa.
"Sail Malaysia bukan sekadar penganjuran aktiviti sukan biasa, tetapi pemacu strategik penting bagi industri pelancongan maritim Terengganu.
"Acara ini juga menjadi pencapaian penting dalam pelan hala tuju pelancongan negeri yang menyokong pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026, selain menjadi batu loncatan untuk persiapan Tahun Melawat Terengganu 2026," katanya pada program sambutan sempena Sail Malaysia Passage To The East Yatht Rally 2026 di Kampung Budaya, Terengganu, Losong, dekat sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Sail Malaysia Sazli Kamal Basha berkata program yang bermula di Pulau Langkawi, Kedah itu akan berakhir di Tawau, Sabah pada 31 Ogos depan.
Beliau berkata walaupun jumlah peserta yang dibawa tidak ramai, namun impak program kepada sektor pelancongan sangat besar memandangkan pelayar tersebut menghabiskan masa berbulan-bulan di Malaysia.
"Sebelum sampai ke Terengganu, kita dah bawa pelayar ini ke Langkawi, Borneo, Pulau Tioman, Pulau Pangkor, Port Dickson dan Pulau Pinang. Objektif kita ialah untuk memperkenalkan pantai dan pulau yang ada di Malaysia.
"Pelancong yang datang dengan kapal layar ini sebenarnya memberi impak pelancongan jangka panjang kepada negara. Walaupun mereka datang hanya dua atau tiga orang satu kapal, mereka akan duduk berbulan-bulan hingga bertahun-tahun di sini. Sudah pasti mereka akan berbelanja dan ia memberi limpahan kepada ekonomi negeri," katanya.
Seorang peserta pelayaran Irene Evangelista, 33, dari Filipina berkata dia tidak menyangka Malaysia memiliki rangkaian pulau dan pantai yang indah lagi bersih.
Irene yang bekerja di industri perhotelan berkata keramahan penduduk juga menyebabkan dia tidak berasa janggal walaupun baru pertama kali menjejakkan kaki di Malaysia.
"Saya pernah ke Langkawi, Pangkor dan Tioman. Saya boleh katakan Malaysia sememangnya dikurniakan pulau dan pantai yang indah, sama seperti Filipina. Saya tidak sabar untuk meneroka lebih banyak tempat di Malaysia, khususnya Terengganu. Layanan mesra dan kebaikan rakyat Malaysia juga sama seperti di Filipina. Ia membuatkan saya berasa seperti berada di negara sendiri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial