Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KADA Tambah Baik Empangan Bukit Kuang, Bantu Pengairan 300 Hektar Sawah

21/05/2026 09:39 PM

PASIR PUTEH, 21 Mei (Bernama) -- Projek penambahbaikan Empangan Bukit Kuang bernilai RM4.4 juta yang dimulakan bulan lepas dijangka memberi manfaat kepada tambahan 300 hektar kawasan sawah di Pasir Puteh.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Khalid Abdul Samad berkata projek itu melibatkan kerja penyelenggaraan pintu air, pembersihan sungai dan kawalan tebing melalui pemasangan cerucuk besi sepanjang 320 meter di lima kawasan bendang utama, sekali gus memberi manfaat kepada 50 pesawah.

Beliau berkata projek yang dijangka siap pada November ini adalah langkah berimpak tinggi kerajaan MADANI bagi memperkukuh sistem pengairan dan saliran kawasan padi di bawah skim pengairan KADA.

Ad Banner
Ad Banner

“Fokus utama projek ini adalah untuk meningkatkan bekalan air pertanian sebagai usaha jangka panjang kerajaan dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara,” katanya selepas Majlis Perasmian Projek Empangan Bukit Kuang bagi Skim Pengairan Selising di sini hari ini.

Khalid berkata kemudahan itu akan memastikan bekalan air mencukupi dan konsisten sepanjang musim penanaman, khususnya ketika musim kering selain mengurangkan risiko takungan air berlebihan semasa hujan lebat atau banjir yang boleh menyebabkan kerosakan tanaman serta gangguan jadual penanaman.

Beliau berkata projek menaik taraf infrastruktur itu adalah yang terbesar dilaksanakan di Pasir Puteh setakat ini dan diharap dapat memberi suntikan semangat serta harapan baharu kepada pesawah di kawasan berkenaan.

Ad Banner

Menurut Khalid, projek itu juga antara inisiatif utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 yang melibatkan kerja menaik taraf infrastruktur di bawah Kumpulan Pengguna Air Selising Satu dengan nilai keseluruhan RM23 juta.

Sementara itu, beliau berkata produktiviti hasil padi di kawasan seliaan KADA menunjukkan peningkatan pada musim lepas dengan hasil tuaian mencecah 10 tan metrik sehektar.

“Peningkatan ini didorong pelbagai faktor, termasuk penambahbaikan sistem saliran air di seluruh jajahan di negeri ini, selain kemudahan Kemubu 4 yang mula beroperasi tahun ini.

“Kami berharap perkembangan ini dapat menarik minat lebih banyak golongan muda menceburi bidang pertanian yang mempunyai prospek baik pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata KADA juga berhasrat meneroka lebih banyak kawasan tanaman baharu bagi meningkatkan pengeluaran makanan dan menjadikan Kelantan antara penyumbang utama sektor itu di negara ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan