Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

GSF 2.0: 428 Aktivis Termasuk 29 Rakyat Malaysia Dibebaskan, Dijangka Tiba Di Tanah Air Pada Ahad

21/05/2026 09:02 PM

SEPANG, 21 Mei (Bernama) -- Kesemua 428 aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, termasuk 29 rakyat Malaysia yang ditahan Israel di perairan antarabangsa kini dibebaskan dan dijangka pulang ke tanah air pada Ahad ini.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata SNCC dimaklumkan oleh pihak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan telah menghantar tiga kapal terbang Turkish Airlines ke Lapangan Terbang Ramon yang terletak di tanah haram Israel.

Beliau berkata SNCC mengesahkan laporan terkini bahawa semua 428 aktivis flotilla kini sedang dipindahkan menaiki bas menuju ke Lapangan Terbang Ramon dan dijangka sampai ke Istanbul menggunakan tiga penerbangan tajaan khas Kerajaan Turkiye dengan kod TK6919, TK6921 dan TK6925.

Ad Banner
Ad Banner

“Ketiga-tiga penerbangan khas Turkish Airlines itu dijangka berlepas dari tanah haram Israel sekitar 8 malam waktu Malaysia.

“Penerbangan ini dijangka tiba pada 10 malam waktu Malaysia dan akan disambut oleh pihak kedutaan Malaysia di Turkiye serta Wisma Putra serta kerajaan Turkiye,” katanya pada sidang media perkembangan Misi GSF 2.0 di sini hari ini.

Sani Araby berkata delegasi Malaysia dijangka melalui fasa pemeriksaan kesihatan di hospital Turkiye bagi mendapatkan laporan perubatan berikutan maklumat bahawa ada tahanan yang dipukul serta mengalami kecederaan.

Beliau berkata SNCC menjangkakan delegasi Malaysia akan terbang dan pulang ke tanah air pada 23 Mei dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 24 Mei.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan dan komitmen berterusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang membantu pembebasan 29 rakyat Malaysia.

“Ia termasuk usaha menggembleng saluran diplomatik antarabangsa secara strategik dan berkesan bagi melaksanakan rundingan serta memastikan proses membawa keluar kesemua 29 rakyat Malaysia dapat diatur dengan selamat,” katanya.

Sani Araby berkata SNCC menegaskan insiden penculikan aktivis kemanusiaan telah mencetuskan kemarahan dan kecaman antarabangsa yang dizahirkan dalam bentuk penyataan negara, saman serta aksi demonstrasi. 

Antaranya, adalah di Turkiye, Itali, Sepanyol, Perancis, Belgium, Ireland, Kanada, Belanda, Jerman, Korea Selatan, Australia, Portugal serta organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kesatuan Eropah yang turut mengecam tindakan pencerobohan dan penculikan terhadap aktivis flotila kemanusiaan yang berlaku di perairan antarabangsa.

“Gelombang kebangkitan dunia terhadap insiden ini bukan sekadar terhad kepada kecaman, malah turut disusuli tekanan antarabangsa, termasuk ancaman sekatan ekonomi dan diplomatik, tindakan perundangan, pengeluaran waran serta nota diplomatik oleh pelbagai pihak terhadap rejim penjajah Israel.

“Tekanan luar jangka yang semakin meluas itu telah menjatuhkan reputasi serta memberi tekanan langsung kepada pihak rejim yang pada awalnya merancang untuk menahan mereka dalam jangka masa lama di Penjara Ketziot tetapi terpaksa bebaskan semua tahanan tanpa syarat,” katanya.

Semalam, SNCC mengesahkan kesemua 50 kapal GSF 2.0 yang membawa 428 aktivis kemanusiaan termasuk 29 rakyat Malaysia daripada 40 negara telah dipintas tentera laut rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa, kira-kira 80 batu nautika dari pantai Gaza.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan