Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

GSF 2.0: MB Selangor Dedah Bot Misi Ke Gaza Disabotaj

22/05/2026 03:26 PM

SHAH ALAM, 22 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari hari ini mendedahkan bahawa beliau sepatutnya mengikuti fasa akhir Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza, namun bot yang dijadualkan untuk delegasinya ditenggelamkan dan dipercayai telah disabotaj.

Amirudin berkata bot tersebut telah dikesan terlebih dahulu sebelum sempat dinaiki oleh beliau dan delegasi yang lain.

“Namun begitu, Insya-Allah kita tidak akan berhenti di sini dan akan memastikan mesej (keadaan penduduk Gaza) dapat disampaikan. Kita nak break the silent and siege (mendedahkan kebenaran dan memecah kepungan) terhadap rakyat di Gaza,” katanya kepada pemberita selepas Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Program Didik Kasih (PDK) 2026 di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Hadir sama Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi dan Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri V. Papparaidu. 

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Menteri Penaung misi itu turut menzahirkan rasa syukur atas pembebasan 29 aktivis rakyat Malaysia yang ditahan di perairan antarabangsa baru-baru ini dan menjangka mereka akan pulang ke Malaysia menjelang hujung minggu ini.

Beliau menyifatkan penahanan itu sebagai satu tindakan penculikan oleh rejim Zionis Israel yang semakin terdesak dan mengutuk sekeras-kerasnya penderaan serta tekanan fizikal dihadapi para aktivis sepanjang tempoh tahanan.

Katanya, kerajaan negeri juga kini sedang menunggu laporan akhir bagi memastikan 30 kontena barangan bantuan yang dilepaskan bulan lepas tiba di destinasi dalam masa terdekat.

Sumud Nusantara Command Center (SNCC) pada 20 Mei lepas mengesahkan kesemua 50 kapal GSF 2.0 yang membawa 428 aktivis kemanusiaan daripada 40 negara, telah dipintas tentera laut rejim Zionis Israel (IOF)  di perairan antarabangsa, kira-kira 80 batu nautika dari pantai Gaza.

Dalam pada itu, mengulas mengenai laporan penuh siasatan insiden letupan saluran gas di Putra Heights di Subang Jaya, Amirudin berkata kerajaan negeri bersedia mendedahkan laporan itu kepada umum namun ia perlu mendapat maklum balas daripada kerajaan Persekutuan terlebih dahulu.

Beliau menegaskan bahawa pentadbiran negeri sentiasa mengamalkan prinsip ketelusan kerana laporan tersebut akan diteliti oleh jawatankuasa bebas yang dianggotai oleh dua wakil daripada pihak pembangkang termasuk pakar teknikal. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan