JOHOR BAHRU, 21 Mei (Bernama) -- Jabatan Perikanan Johor mengesahkan penemuan bahagian tulang yang dipercayai berasal daripada spesies paus di kawasan sekitar Pantai Desaru, Kota Tinggi, baru-baru ini.
Jabatan itu dalam kenyataan memaklumkan spesimen berkenaan dijumpai oleh seorang pelancong Singapura pada 3 Mei lepas, yang kemudiannya bertindak menghantar e-mel pemakluman kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terlebih dahulu.
"Pihak kami menerima maklumat berhubung penemuan tersebut pada 12 Mei.
"Susulan itu, tindakan segera telah diambil dengan mengarahkan empat anggota daripada Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan (PKOPP) Tanjung Sedili ke lokasi untuk bertemu dengan pengadu dan mengambil spesimen berkenaan," menurut kenyataan itu.
Spesimen tulang tersebut kini telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Terengganu bagi tujuan pengenalpastian spesies dan penelitian lanjut.
Kes itu melibatkan peruntukan undang-undang di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999 Seksyen 27 Akta Perikanan 1985.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial