Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

LKIM Anjur Jualan Agro MADANI, Sasar Nilai Jualan RM70,000

22/05/2026 01:44 PM

PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini menganjurkan Program Jualan Agro MADANI (JAM) bersempena dengan Aidiladha dan Kempen Beli Udang Tempatan bertempat di Pasar Nelayan LKIM Pulau Meranti, dekat sini.

Program yang menyasarkan nilai jualan RM70,000 itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam memastikan kestabilan bekalan makanan dan meringankan beban kos sara hidup masyarakat setempat menjelang musim perayaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM Rashima Baharuddin berkata program berasaskan konsep jualan terus daripada pengeluar kepada pengguna itu menyediakan pelbagai barangan keperluan dapur, terutamanya hasil laut segar, barangan basah dan produk agromakanan proses.

Ad Banner
Ad Banner

“Platform ini menawarkan penjimatan harga yang signifikan, iaitu antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran biasa.

“Menjelang sambutan Aidiladha, permintaan terhadap sumber protein utama seperti ikan, daging, dan ayam pastinya meningkat, dan melalui platform jualan terus ini, kita berjaya memotong rantaian orang tengah untuk menawarkan harga yang jauh lebih murah dan adil kepada pengguna dan memberikan margin keuntungan lebih baik buat nelayan kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara tarikan utama dan insentif khas yang disediakan dalam program kali ini termasuklah Kempen Beli Udang Tempatan, iaitu Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) telah membekalkan 800 kilogram (kg) Udang Vannamei (udang putih) segar yang dibawa khas dari Taman Akuakultur LKIM Badong, Pahang dan dijual pada harga promosi RM20/kg.

Jualan berkenaan turut menyediakan bekalan protein termasuk lebih 1,500 kg ikan segar seperti kerapu hibrid, siakap, senangin, bawal mas, jenahak, dan merah, produk sejuk beku Q'Fish, 750 kg kerang-kerangan (kerang, lala, kupang, siput sedut), 600 ekor ayam bulat, dan 500 kg daging segar tempatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan