KUCHING, 22 Mei (Bernama) -- Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching hari ini menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada lapan pengamal media di Sarawak yang menghadapi masalah kesihatan dan diuji dengan musibah.
Lapan penerima tersebut ialah Mohamad Ghaz Ghazali dan Lim How Pim dari The Borneo Post; Indun Silong dan Zarina Abdullah dari Suara Sarawak; Mohammad Roji Abdullah (Media Prima); Kong Jun Liung (See Hua Daily News); Abdul Majid Azman (The Malaysia Press), serta Alan Jay E. Evangelista (Sarawak Tribune).
Mohamad Ghaz, 48, yang merupakan editor kanan The Borneo Post, menzahirkan penghargaan atas bantuan menerusi Tabung Kasih@HAWANA itu selepas kediamannya terjejas akibat banjir pada malam tahun baharu 2026.
“Sumbangan yang diterima sedikit sebanyak membantu menampung kos menggantikan peralatan rumah yang rosak akibat banjir,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung sempena Program “Love Bandar Kuching” anjuran Kelab Fotomedia (Photomedia and Design Club) di Tropics City, di sini hari ini.
Beliau turut menyifatkan bantuan itu sebagai bukti keprihatinan kerajaan dan agensi berkaitan terhadap kebajikan pengamal media yang berdepan musibah.
Tabung Kasih@HAWANA merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana bagi membantu pengamal media yang memerlukan.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Hal Ehwal Korporat Bernama Mariati Mohd Arif dan Ketua Biro Bernama Sarawak Ammar Shafiq Hamzah.
Sementara itu, wartawan Suara Sarawak Indun Silong, 35, berkata platform Tabung Kasih@HAWANA merupakan satu penghargaan bermakna buat wartawan yang memerlukan.
Beliau berkata kejadian banjir yang berlaku beberapa kali tahun lepas dan tahun ini menyebabkan keluarganya kerugian agak besar kerana banyak perabot dan barangan rumah rosak.
“Sokongan daripada Tabung Kasih@HAWANA ini membuktikan jasa pengamal media dihargai dan tidak dilupakan, terutama ketika menghadapi saat sukar.
“Sebagai wartawan, tugas kami sering di belakang tabir. Bantuan dan penghargaan seperti ini memberi motivasi untuk terus menjalankan amanah dengan penuh dedikasi,” katanya.
Sejak dilancarkan pada Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, Tabung Kasih@HAWANA telah memanfaatkan 766 pengamal media di seluruh negara, mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memelihara kebajikan komuniti media, khususnya mereka yang memerlukan bantuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial