Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

30 Ekor Lembu Diagihkan Di Parlimen Tangga Batu Untuk Ibadah Korban

25/05/2026 05:25 PM

MELAKA, 25 Mei (Bernama) -- Sebanyak 30 ekor lembu melibatkan peruntukan berjumlah lebih RM160,000 diagihkan di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Tangga Batu bagi pelaksanaan ibadah korban bersempena dengan Aidiladha pada tahun ini.

Ketua UMMO Bahagian Tangga Batu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata kawasan yang terlibat ialah DUN Sungai Udang, Pantai Kundor, Paya Rumput dan Kelebang yang diagihkan menerusi wakil masjid, surau dan penduduk kampung.

"Setiap tahun kita memang menyasarkan antara 25 hingga 30 ekor lembu untuk diagihkan dalam Parlimen Tangga Batu ini bagi pelaksanaan ibadah korban dan pada tahun ini, jumlah berkenaan meningkat kepada 30 ekor berbanding 28 ekor pada tahun lepas.

Ad Banner
Ad Banner

"Jumlah pengagihan lembu pada tahun ini meningkat kerana kita agihkan juga kepada wakil di Perumahan Polis di Krubong dan kawasan itu ialah penduduk terbaharu dalam DUN Paya Rumput," katanya kepada pemberita selepas Majlis Simbolik Penyerahan Haiwan Korban bersempena dengan Aidiladha 1447H Peringkat Parlimen Tangga Batu di Japerun Paya Rumput di sini, hari ini.

Beliau berkata lembu berkenaan juga turut diagihkan kepada wakil di tiga kem tentera dalam DUN Sungai Udang bagi pelaksanaan ibadah berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka berkata kerajaan negeri telah melaksanakan penilaian pelbagai aspek dan kajian impak bagi pembangunan semua kemudahan termasuk taman permainan di negeri itu sebelum dibina.

Beliau berkata taman permainan yang dibangunkan di negeri itu juga mempunyai beberapa kategori termasuk mengikut peringkat umur kanak-kanak sebagai langkah keselamatan.

"Sebagai contoh, taman permainan yang dibangunkan di Plaza Melaka Sentral yang didakwa ekstrem adalah untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.

"Dalam isu ini, ibu bapa memainkan peranan utama untuk menilai risiko selain memantau pergerakan atau aktiviti anak-anak mereka ketika bermain di taman permainan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan