Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JPV P.Pinang Keluar 1,398 Permit Sembelihan Luar Untuk Ibadah Korban Tahun Ini

25/05/2026 06:50 PM

GEORGE TOWN, 25 Mei (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 1,398 Permit Sembelihan Luar (PSL) bagi tujuan ibadah korban di seluruh negeri ini tahun ini, kata Pengarahnya Dr Saira Banu Mohamed Rejab.

Beliau berkata secara keseluruhan, sebanyak 6,107 ekor ternakan akan dikorbankan pada Aidiladha tahun ini berbanding 4,220 ekor tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 1,887 ekor.

"Setakat hari ini, sebanyak 1,398 PSL telah dikeluarkan berbanding 1,057 permit pada 2025, menunjukkan peningkatan sebanyak 341 permit atau 32.26 peratus, ia menggambarkan pertambahan penyertaan masyarakat dan peningkatan pelaksanaan ibadah korban di Pulau Pinang tahun ini. 

Ad Banner
Ad Banner

"Pecahan ternakan bagi tahun ini melibatkan 5,476 ekor lembu, kambing (542 ekor), bebiri (57 ekor), kerbau (26 ekor) dan enam ekor unta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lembu masih menjadi pilihan utama masyarakat bagi pelaksanaan ibadah korban disebabkan faktor kesesuaian agihan, kapasiti penyertaan peserta korban serta faktor ekonomi semasa.

Saira Banu berkata bekalan lembu dan kerbau bagi tujuan korban melibatkan ternakan tempatan dan import dengan pengimportan dilaksanakan sebagai langkah bagi menstabilkan bekalan dan menampung peningkatan permintaan semasa  Aidiladha, khususnya apabila pengeluaran ternakan tempatan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa.

Katanya antara faktor yang mempengaruhi kekurangan bekalan ternakan tempatan termasuk peningkatan kos makanan, kenaikan kos operasi ladang, kekangan kawasan penternakan, pengurangan bilangan penternak aktif serta penyakit haiwan tertentu yang boleh menjejaskan kadar pengeluaran dan produktiviti ternakan.

"Pelaksanaan PSL adalah penting bagi memastikan aktiviti korban dilaksanakan mengikut prosedur dan syarat yang telah ditetapkan termasuk aspek kesihatan veterinar, kebajikan haiwan, kebersihan tempat sembelihan dan keselamatan makanan. 

"Permit itu juga membantu memastikan ternakan yang digunakan bagi tujuan korban berada dalam keadaan sihat dan sesuai untuk disembelih selain pemantauan pegawai veterinar dan pemeriksa daging yang dilantik memastikan pemeriksaan antemortem dan postmortem dilaksanakan dengan sempurna," katanya.

Beliau turut menasihatkan semua penganjur korban supaya mendapatkan PSL serta memastikan pengurusan haiwan dan sisa sembelihan dilaksanakan secara teratur serta mematuhi syarat yang ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan