Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Aidiladha: Sultan Pahang Seru Rakyat Pelihara Perpaduan, Elak Perpecahan

26/05/2026 11:31 AM

KUANTAN, 26 Mei (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menyeru seluruh rakyat, khususnya orang Melayu dan umat Islam agar terus memelihara perpaduan, mengelakkan perpecahan dan tidak mudah dipengaruhi dengan perkara yang meretakkan keharmonian masyarakat.

Al-Sultan Abdullah bertitah Aidiladha merupakan simbol pengorbanan, keikhlasan dan kekuatan ukhuwah sesama umat Islam.

"Perhimpunan jutaan umat Islam di Tanah Suci tanpa mengira bangsa, darjat dan kedudukan membuktikan bahawa Islam menuntut umatnya hidup bersatu padu, saling menghormati dan memperkukuh persaudaraan," titah baginda menerusi perutusan bersempena dengan Aidiladha 2026.

Ad Banner
Ad Banner

Baginda bertitah, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi Perutusan Aidiladha 2026 turut menyeru umat Islam dan orang Melayu di negara ini supaya terus bersatu padu serta mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan kekuatan bangsa dan mencetuskan keresahan rakyat.

Sultan Pahang bertitah kekuatan sesuatu bangsa dan negara tidak hanya bergantung kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan semata-mata, tetapi juga kepada kesatuan rakyat, kestabilan masyarakat serta sikap saling menghormati antara kaum dan agama.

Baginda juga berharap agar seluruh rakyat di negeri ini sentiasa memelihara adab, memperkukuh semangat muafakat dan mengutamakan kepentingan bersama demi keamanan serta kesejahteraan negara.

Menerusi perutusan berkenaan baginda bersama Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan selamat hari raya kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat Pahang walau di mana berada.

"Pada kesempatan ini juga, saya dan Tengku Ampuan Pahang mendoakan agar seluruh jemaah haji Malaysia dipermudahkan segala urusan ibadah, dikurniakan kesihatan yang baik, memperoleh haji yang mabrur dan kembali ke tanah air dengan selamat," titah baginda. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan