KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri dan menteri Kabinet hari ini menyeru rakyat menghayati semangat hijrah dengan menjadikan kedatangan Awal Muharam 1448H sebagai titik muhasabah untuk memperkukuh tekad, perpaduan dan daya tahan negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Maal Hijrah mengingatkan rakyat bahawa perubahan tidak berlaku dengan kata-kata semata-mata, sebaliknya menuntut usaha, disiplin dan kesungguhan untuk menjadi lebih baik daripada semalam.
"Hijrah juga mengajar kita erti pengorbanan dan kecekalan dalam menghadapi setiap cabaran kehidupan. Nilai-nilai inilah yang perlu terus menjadi pedoman dalam kita memimpin, bekerja dan berkhidmat kepada masyarakat.
"Dalam dunia yang sentiasa berubah, semangat hijrah menuntut kita untuk berani melakukan pembaharuan, memperbaiki kelemahan serta terus berusaha memberikan yang terbaik demi kemajuan bersama," katanya menerusi hantaran di Facebook sempena Awal Muharam.
Beliau berharap tahun baharu Hijrah itu dapat menguatkan tekad rakyat untuk terus melaksanakan amanah dengan ikhlas, memperkukuh perpaduan dan berkhidmat sebaiknya demi agama, bangsa dan negara.
Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M tahun ini mengangkat tema "MADANI Dihayati, Ummah Diberkati", bertepatan dengan semangat hijrah Rasulullah SAW yang menjadi titik permulaan pembinaan tamadun Islam unggul melalui penubuhan negara Madinah.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Maal Hijrah bukan sekadar pertukaran angka dalam kalendar Islam, sebaliknya seruan untuk memperbaiki diri, memperkukuh perpaduan dan memikul tanggungjawab yang lebih besar terhadap agama, keluarga serta negara.
Beliau berkata keadaan dunia yang semakin mencabar termasuk krisis tenaga, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan ekonomi global yang turut memberi kesan kepada Malaysia menuntut rakyat mengambil iktibar daripada semangat hijrah dengan bersikap lebih berhemah, berdaya tahan serta bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan.
Fadillah berkata Islam turut mengajar umatnya supaya mengamalkan kesederhanaan dan mengelakkan pembaziran dalam setiap aspek kehidupan, termasuk membudayakan amalan berjimat cermat, menggunakan tenaga dan sumber secara berhemat, mengelakkan pembaziran makanan, air serta elektrik, selain mengutamakan keperluan berbanding kehendak.
"Langkah kecil yang dilakukan secara bersama mampu memberi impak besar kepada kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata kekuatan Malaysia sentiasa terletak pada perpaduan rakyatnya, justeru perbezaan tidak seharusnya dibiarkan memisahkan masyarakat, sebaliknya semangat kebersamaan, saling menghormati dan berganding bahu perlu terus diperkukuh bagi memastikan negara kekal aman, stabil dan makmur.
Beliau turut mengajak rakyat memperbaharui azam, meningkatkan integriti dan terus bekerja keras demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pula berkata ketibaan tahun baharu Hijrah menjadi ruang untuk bermuhasabah, memperbaharui azam dan memperteguh keimanan dalam menempuh perjalanan hidup.
"Hijrah mengajar kita tentang keberanian untuk berubah ke arah yang lebih baik, kesabaran dalam menghadapi ujian dan keikhlasan dalam setiap usaha yang dilaksanakan. Semoga tahun ini membawa rahmat, keberkatan dan ketenangan buat kita semua, insya-Allah," katanya.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan mengajak umat Islam mengiringi pertukaran tahun Hijrah dengan doa memohon rahmat dan keampunan Allah SWT.
"Kedatangan 1 Muharam bukan sekadar cuti umum, tetapi ia adalah detik refleksi terbaik untuk kita melakukan islah (penambahbaikan) diri," katanya yang turut berkongsi panduan membaca doa akhir tahun 1447H sebelum masuk waktu maghrib dan doa awal tahun 1448H selepas masuk waktu maghrib, selain mengajak umat Islam melaksanakannya bersama keluarga.
Turut menzahirkan ucapan Maal Hijrah ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek; dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Ucapan sama turut dizahirkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Digital Gobind Singh Deo; Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan; dan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial