PUTRAJAYA, 29 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menzahirkan penghargaan kepada seluruh wartawan, pengamal media dan petugas industri penyiaran atas dedikasi mereka menyampaikan maklumat tepat, sahih dan berintegriti kepada rakyat sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.
Beliau berkata peranan wartawan amat besar dalam memperkukuh demokrasi serta membina masyarakat berilmu dan berinformasi, khususnya ketika landskap media kini semakin mencabar dan pantas berubah.
"Dalam landskap media yang semakin mencabar dan pantas berubah, peranan wartawan bukan sekadar menyampaikan berita, malah menjadi jambatan penting antara rakyat dan kerajaan," katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya sempena HAWANA 2026, hari ini.
Fadillah berkata media yang bebas, bertanggungjawab dan beretika merupakan rakan strategik negara dalam memastikan kestabilan, keharmonian dan kemajuan Malaysia terus dipelihara.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap pengorbanan wartawan yang sentiasa berada di lapangan termasuk ketika bencana dan krisis demi memastikan rakyat memperoleh maklumat sahih dan seimbang.
Beliau berkata dalam era digital hari ini, cabaran penyebaran maklumat palsu, fitnah serta budaya sensasi menuntut warga media terus berpegang kepada prinsip kewartawanan yang berasaskan fakta, integriti dan kebertanggungjawaban.
Fadillah berkata kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan penting institusi media dalam pembangunan negara, manakala sinergi erat antara kerajaan dan pengamal media mampu membantu menyampaikan dasar serta agenda pembangunan negara dengan lebih berkesan kepada rakyat.
Beliau turut berharap industri media negara terus berkembang seiring kemajuan teknologi tanpa mengabaikan nilai etika, profesionalisme dan kemanusiaan.
"Wartawan bukan sahaja pencatat sejarah, malah antara individu penting dalam membentuk pemikiran masyarakat dan masa depan negara," katanya.
Sambutan HAWANA 2026 dijadual berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun ini yang mengangkat tema "Media Berintegriti, Teras Kredibiliti" bagi memperkasa peranan pengamal media dalam pembangunan negara.
Majlis kemuncak sambutan tahunan bagi menghargai jasa golongan pengamal media itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth.
Senada dengan Fadillah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam dunia digital yang bergerak begitu pantas hari ini, peranan wartawan menjadi semakin besar sebagai sumber maklumat yang sahih dan suara yang membantu membina kefahaman rakyat terhadap pelbagai isu semasa.
"Di sebalik setiap berita yang sampai kepada rakyat, ada wartawan yang bekerja tanpa mengira waktu demi memastikan maklumat disampaikan dengan tepat, pantas dan penuh tanggungjawab," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau amat menghargai hubungan baik yang terjalin bersama rakan media selama ini, selain mengiktiraf pelbagai pengorbanan yang mungkin tidak dilihat di hadapan khalayak namun tetap dilakukan secara profesional demi memastikan rakyat terus mendapat maklumat yang benar dan diyakini.
"Teruskanlah menyampaikan berita dengan penuh integriti dan rasa tanggungjawab kepada negara," katanya.
Bersempena sambutan HAWANA 2026 beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh pengamal media tanah air atas komitmen dan dedikasi yang dicurahkan dalam dunia kewartawanan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial