Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Wartawan Kekal Benteng Utama Sampaikan Maklumat Sahih - Fahmi

29/05/2026 06:17 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Wartawan kekal sebagai benteng utama dalam menyampaikan maklumat sahih di sebalik cabaran lambakan berita palsu pada masa kini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) hari ini, beliau berkata wartawan perlu berdiri di barisan hadapan sebagai pelindung integriti maklumat ketika fitnah boleh tersebar dalam sekelip mata dan persepsi sering mengatasi realiti.

“Peranan wartawan tidak terbatas kepada mencatat peristiwa, tetapi menjadi suara penting yang menegakkan kebenaran ketika masyarakat berdepan kekeliruan dan spekulasi,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Fahmi berkata setiap berita perlu diteliti, disahkan dan diikuti dengan rasa tanggungjawab kerana kepercayaan masyarakat lahir daripada kejujuran serta konsistensi pengamal media.

“Apabila integriti dijadikan pegangan dan kebenaran menjadi keutamaan, wartawan terus berdiri sebagai benteng maklumat yang sahih kerana pada akhirnya, kewartawanan bukan hanya tentang menyampaikan berita tetapi tentang memelihara amanah dan mempertahankan kepercayaan,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga media yang terus berperanan sebagai penerang masyarakat melalui penyampaian berita berwibawa, berintegriti dan dipercayai.

Menurut pengurusan tertinggi KKR, kewartawanan beretika memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan, keharmonian dan kestabilan negara.

“Penyampaian laporan yang adil serta berlandaskan fakta mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu semasa dan menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang matang serta berinformasi,” menurut kementerian itu  menerusi hantaran di Facebook rasminya.

KKR turut berharap profesion kewartawanan terus diperkasakan sebagai tonggak pembangunan negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Sambutan HAWANA 2026 dijadual berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun ini yang mengangkat tema "Media Berintegriti, Teras Kredibiliti" bagi memperkasakan peranan pengamal media dalam pembangunan negara.

Majlis kemuncak sambutan tahunan bagi menghargai jasa golongan pengamal media itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth.

Sementara itu,  Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan pula menekankan kepentingan laporan yang berasaskan fakta, etika dan tanggungjawab demi mengekalkan kepercayaan masyarakat.

Beliau berkata peranan media amat penting dalam membentuk masyarakat yang berinformasi dan  matang, sekali gus memperkukuh perpaduan dan nilai Malaysia MADANI.

“Melalui penulisan, visual, fotografi dan pelbagai platform penyampaian, para pengamal media menjadi jambatan penting antara rakyat dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua rakan media atas sokongan, kerjasama dan komitmen yang sentiasa diberikan.

“Segala jasa, dedikasi dan pengorbanan anda dalam menyampaikan informasi kepada masyarakat amat dihargai.Terima kasih atas segala usaha dan komitmen anda,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pengamal media atas komitmen menyampaikan maklumat tepat, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat.

Menerusi hantaran di Facebook, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata media berperanan sebagai rakan strategik negara yang penting dalam membina masyarakat berinformasi serta memperkukuh perpaduan.

“Wartawan memainkan peranan penting sebagai jambatan maklumat antara kerajaan dan rakyat dalam memperkukuh kestabilan, keselamatan serta kesejahteraan negara.

“Peranan utama pengamal media adalah menyampaikan maklumat sahih dan berfakta bagi membentuk masyarakat celik maklumat selain memperkukuh demokrasi serta tadbir urus yang baik,” katanya.

KDN turut menzahirkan penghargaan atas jasa dan pengorbanan seluruh warga media yang sentiasa berada di barisan hadapan, termasuk ketika berdepan situasi krisis, bencana serta cabaran keselamatan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan