Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Saifuddin Nasution Zahir Penghargaan Komitmen Arab Saudi Pastikan Kelancaran Haji

29/05/2026 11:57 AM

PUTRAJAYA, 29 Mei (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menzahirkan penghargaan terhadap komitmen berterusan kerajaan Arab Saudi dalam memastikan kelancaran pengurusan musim haji tahun ini yang melibatkan kira-kira 1.7 juta jemaah dari 165 negara seluruh dunia.

Beliau berkata penghargaan itu dizahirkan susulan pertemuan yang dipengerusikan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud bersama para pemimpin serta delegasi negara-negara yang hadir menunaikan ibadah rukun Islam kelima tahun ini.

Beliau berkata dalam sesi berkenaan, Putera Mahkota Mohammed berkongsi pelbagai usaha dan persiapan yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi bagi menguruskan musim haji meliputi aspek logistik, infrastruktur, keselamatan, kesihatan dan kebajikan jemaah.

Ad Banner
Ad Banner

“Pengurusan ibadah haji pada skala sebegini sememangnya memerlukan perancangan yang sangat teliti.

“Saya amat menghargai komitmen berterusan kerajaan Arab Saudi dalam memastikan dhuyufurrahman (tetamu Allah) dapat menunaikan ibadah dengan selamat, teratur dan penuh ketenangan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Saifuddin Nasution yang juga merupakan antara jemaah haji tahun ini berkata beliau dapat melihat sendiri kesungguhan dan kecekapan pihak berkuasa Arab Saudi dalam menyediakan pelbagai kemudahan serta perkhidmatan bagi melancarkan perjalanan ibadah jutaan umat Islam dari seluruh pelosok dunia.

Beliau turut mendoakan agar segala usaha murni itu terus diberkati Allah SWT serta menjadi asbab kepada kelancaran urusan para tetamu-Nya, sekali gus mengukuhkan kedudukan Tanah Suci sebagai destinasi yang menyatukan umat Islam dalam semangat ukhuwah, keamanan dan persaudaraan.

Untuk rekod, kerajaan Arab Saudi telah meluluskan sebanyak 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia bagi 1447H/2026M.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan