KUCHING, 29 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak menggerakkan 207 pegawai penguat kuasa dan 101 pegawai pemantau harga di lokasi strategik seluruh negeri itu bagi memantau keberadaan bekalan serta pematuhan harga.
Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin berkata pemeriksaan dilaksanakan di pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat beli-belah.
“Pemeriksaan dijalankan bagi memantau ketidakpatuhan atau menyiasat aduan pengguna supaya pelanggaran oleh peniaga boleh diambil tindakan mengikut perundangan ditetapkan.
“KPDN Sarawak juga akan mempertingkatkan keberadaan pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga di lokasi tumpuan pengguna bagi mewujudkan persekitaran perniagaan dan aktiviti beli-belah yang selamat dan beretika,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata bermula 1 Jan hingga 27 Mei lepas, pegawai penguat kuasa KPDN Sarawak telah menjalankan pemeriksaan ke atas 61,257 premis di seluruh negeri.
“Hasil pemeriksaan itu, sebanyak 965 kes direkodkan dengan nilai rampasan berjumlah RM12,478,402 serta nilai kompaun sebanyak RM228,400,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata KPDN melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Gawai 2026 berkuat kuasa 27 Mei hingga 4 Jun ini.
Sebanyak 12 jenis barangan dikawal dan diwartakan sebagai barangan harga terkawal sempena pelaksanaan SHMMP Hari Gawai 2026 di Sarawak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial