Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Usahawan PKS Digesa Mohon Pembiayaan SME SRF

30/05/2026 01:57 PM

BALIK PULAU, 30 Mei (Bernama) -- Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini digesa merebut peluang memohon pembiayaan di bawah SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF), yang disediakan oleh kerajaan bagi membantu perniagaan mereka dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata jumlah institusi kewangan yang terlibat dalam penyaluran dana itu, kini meningkat kepada 20 bank berbanding 18 bank yang diumumkan sebelum ini.

“Seperti kita maklum bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini telah mengumumkan pembiyaan khas SME SRF berjumlah RM5 bilion, yang mana inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan beban usahawan dan membantu mereka menangani kesan cabaran ekonomi global termasuk krisis bekalan tenaga dunia,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan jelajah mesra bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow ke Pasar Pagi Balik Pulau di sini, bersempena dengan program Jelajah Ketua Menteri. 

Antara bank yang terlibat termasuk Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank), Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), Standard Chartered Bank Malaysia Berhad / Standard Chartered Saadiq Berhad dan United Overseas Bank (Malaysia) Berhad.

Sim berkata di bawah kemudahan itu, PKS yang layak boleh memperoleh pembiayaan sehingga RM750,000 dengan kadar keuntungan atau faedah rendah sebanyak 3.75 peratus setahun, bagi tempoh sehingga lima tahun.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan penyaluran pembiayaan berjumlah RM15 bilion kepada usahawan tahun ini dan setakat April lepas, sebanyak RM4 bilion telah disalurkan kepada lebih 150,000 usahawan di seluruh negara.

“Kita akan berusaha mempercepat proses penyaluran pembiayaan, namun ia juga tertakluk kepada permohonan yang diterima serta kelengkapan dokumentasi oleh pemohon,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut bekerjasama rapat dengan kesemua 20 bank yang terlibat, bagi memudah cara proses permohonan pembiayaan oleh syarikat-syarikat PKS.

Beliau berkata usahawan dan peniaga yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai senarai bank terlibat menerusi laman sesawang BNM, sebelum mengemukakan permohonan.

Pada 28 April, BNM melancarkan kemudahan pembiayaan khas SME SRF berjumlah RM5 bilion, bagi membantu PKS dan perusahaan mikro yang terjejas akibat konflik di Asia Barat serta ketidaktentuan pasaran global.

Kemudahan itu menyediakan sokongan modal kerja kepada perniagaan yang berdaya maju bagi membolehkan mereka mengekalkan operasi, mengurus tekanan aliran tunai serta memenuhi obligasi kewangan jangka pendek.

Bagi membantu perniagaan yang tidak mempunyai cagaran mencukupi, kemudahan pembiayaan tersebut disokong jaminan sehingga 80 peratus oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan