KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Bersempena dengan sambutan Hari Wesak, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus memperkukuh nilai kemanusiaan, menyemarakkan semangat perpaduan dan membina masyarakat digital yang lebih beretika, beradab dan bijaksana.
Sambil mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada penganut agama Buddha di negara ini, beliau berkata tema sambutan peringkat kebangsaan tahun ini, “Mendepani Era Digital, Memupuk Kebijaksanaan Bersama”, membawa mesej yang amat signifikan kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Dalam dunia digital hari ini, perpaduan bukan lagi hanya diuji di dunia nyata, tetapi juga di media sosial. Satu hantaran mampu menyatukan masyarakat, namun satu fitnah juga mampu merosakkan keharmonian negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Aaron berkata cabaran era digital ialah penyebaran kebencian, berita palsu, ekstremisme dan budaya menghukum tanpa berasaskan fakta.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa nilai MADANI seperti hormat, ihsan dan kemampanan sosial perlu diterjemahkan dalam kehidupan harian termasuk dalam penggunaan media sosial.
“Apa yang kita tulis, kongsi dan komen mencerminkan tahap kematangan masyarakat kita. Setiap rakyat mempunyai tanggungjawab untuk menjadi agen perpaduan, bukan penyebar kebencian.
“Rakyat Malaysia perlu menjadi masyarakat digital yang matang, berfikir sebelum berkongsi, menyemak sebelum percaya dan menghormati walaupun berbeza pandangan,” katanya.
Aaron berkata Kerajaan MADANI percaya bahawa dialog antara agama merupakan asas penting dalam memperkukuh perpaduan negara, kerana ia platform terbaik untuk membina kefahaman, merapatkan jurang dan memupuk rasa hormat antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Beliau berkata Malaysia dibina atas kekuatan menerima dan meraikan kepelbagaian yang menjadi tunjang kepada keharmonian dan kestabilan negara.
Hari Wesak yang disambut esok merupakan hari suci terpenting bagi penganut Buddha bagi memperingati kelahiran, pencerahan dan kematian Siddhartha Gautama iaitu pengasas agama Buddha.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial