Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Karnival Belia MADANI Padang Rengas Sasar 10,000 Kehadiran Pengunjung

30/05/2026 04:40 PM

PADANG RENGAS, 30 Mei (Bernama) -- Karnival Belia MADANI dan Sukan Belia (SUKBEL) Padang Rengas yang berlangsung 29 Mei hingga 1 Jun di Parlimen Padang Rengas, dijangka menarik antara 8,000 hingga 10,000 pengunjung dengan pelbagai pengisian yang memberi manfaat kepada golongan muda.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata penganjuran karnival itu, bertujuan menghimpunkan golongan belia khususnya di kawasan luar bandar bagi memberikan pendedahan mengenai pelbagai perkhidmatan, bantuan dan inisiatif yang disediakan kerajaan.

Beliau berkata program itu turut melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Jabatan Belia dan Sukan bagi memudahkan belia mendapatkan maklumat berkaitan peluang pembangunan diri, pekerjaan dan keusahawanan.

Ad Banner
Ad Banner

“Kita mahu membawa anak-anak muda keluar dan berkumpul dalam suasana yang lebih positif, sambil mengenali pelbagai peluang yang disediakan kerajaan untuk membantu mereka dalam kehidupan dan kerjaya.

“Selain itu, aktiviti yang dianjurkan termasuk e-sukan dan pelbagai program rekreasi lain diharap dapat mengukuhkan perpaduan, kesepakatan serta hubungan baik dalam kalangan belia di Padang Rengas dan kawasan sekitarnya,” katanya kepada pemberita pada Karnival Belia MADANI Padang Rengas yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak di sini hari ini.

Muhammad Kamil berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan, apabila penyertaan tidak hanya melibatkan penduduk setempat, malah turut menarik kehadiran belia dari kawasan berhampiran seperti Kuala Kangsar, Taiping, Bukit Gantang dan Sungai Siput.

“Karnival ini juga berperanan menghidupkan semula budaya penglibatan sosial dalam kalangan anak muda, yang kini lebih banyak menghabiskan masa di platform digital dan media sosial.

“Malah melalui pendekatan turun padang melalui program berimpak tinggi seperti ini, penting bagi memastikan golongan belia tidak tercicir daripada arus pembangunan negara, selain menjadi platform untuk mereka menyuarakan pandangan serta membina jaringan dengan rakan sebaya dan pelbagai agensi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sentiasa komited memperkasakan agenda pembangunan belia melalui pelbagai program yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat, kemahiran, kepimpinan dan keusahawanan agar golongan muda dapat memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan masyarakat dan negara.

“Kita berharap program seperti ini, dapat menyuntik semangat baharu kepada belia untuk kembali aktif dalam kegiatan sosial dan kemasyarakatan serta melibatkan diri dalam pelbagai inisiatif pembangunan komuniti.

“Karnival yang bermula semalam merekodkan kehadiran hampir 2,000 pengunjung pada hari pertama dan jumlah itu dijangka terus meningkat sehingga penghujung program pada 1 Jun,” katanya.

Karnival itu dianjurkan bersama-sama Pusat Komuniti Rakyat Padang Rengas (KOMRAT), Pertubuhan Generasi Penggerak Kebangsaan (Genk), Rasa Fusion Food Fest serta Persatuan Usahawan Inovatif & Kreatif (Pernova).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan