Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jangan Biar Warisan Masyarakat Dayak Terhakis Arus Kemodenan - Aaron

31/05/2026 02:23 PM

SIBU, 31 Mei (Bernama) -- Masyarakat Dayak di Sarawak diingatkan agar tidak membiarkan adat, budaya dan warisan nenek moyang sejak turun-temurun semakin terhakis dalam mengharungi arus kemodenan serta perkembangan teknologi yang semakin pesat pada masa kini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata masyarakat Dayak perlu bergerak seiring dengan perubahan zaman sambil memastikan akar budaya kekal utuh bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

“Tradisi yang diwarisi bukan sekadar tinggalan sejarah tetapi merupakan identiti yang membentuk jati diri sesuatu bangsa.

Ad Banner
Ad Banner

“Generasi muda perlu terus didedahkan dengan bahasa, adat resam, kesenian dan nilai budaya agar warisan yang diwariskan oleh leluhur terus hidup dan berkembang,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Aaron berkata kemajuan teknologi, pendidikan dan ekonomi harus dimanfaatkan untuk mendokumentasikan, mempromosi dan memartabatkan warisan budaya kepada generasi akan datang.

Ahli Parlimen Kanowit itu berkata sambutan Hari Gawai Dayak merupakan perayaan yang penuh makna, iaitu sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian, rezeki yang dikurniakan serta nikmat keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati bersama-sama.

“Sebagai seorang anak Iban yang membesar di rumah panjang, sambutan Gawai sentiasa membawa kenangan cukup istimewa dalam hidup saya.

“Saya masih mengingati suasana gotong-royong menyediakan juadah, gelak tawa saudara-mara yang pulang ke rumah panjang serta semangat kekeluargaan yang menyatukan seluruh komuniti.

“Nilai hormat kepada orang tua, semangat berkongsi rezeki dan amalan saling membantu yang saya pelajari sejak kecil terus menjadi pegangan dalam kehidupan hingga hari ini,” katanya.

Aaron berkata keunikan budaya, bahasa dan adat pelbagai etnik di negara ini merupakan khazanah tidak ternilai dengan kepelbagaian itu menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan warisan dan keindahan budaya.

Beliau berkata setiap perayaan yang diraikan termasuk Hari Gawai Dayak membuka ruang untuk rakyat saling mengenali, memahami dan menghormati antara satu sama lain yang menjadi asas membolehkan Malaysia terus maju sebagai negara bangsa yang bersatu, stabil dan dihormati di persada dunia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan