Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ITBM Perkukuh Penerbitan TVET, Sedia Lebih 500 Judul Buku Sempena PBAKL 2026

31/05/2026 05:11 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menyediakan lebih 500 judul buku berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, selain meneroka peluang menterjemah bahan rujukan terpilih ke dalam Bahasa Melayu, bagi memperluas akses kepada kandungan teknikal bertaraf antarabangsa.

ITBM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa usaha itu selaras dengan saranan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika lawatan beliau ke Pavilion Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) sempena PBAKL 2026, agar penerbitan bahan rujukan akademik TVET diperkasakan bagi menyokong pembangunan modal insan berkemahiran tinggi serta memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan negara.

Menurut kenyataan itu, koleksi lebih 500 judul TVET tersebut merangkumi pelbagai peringkat pendidikan daripada prasekolah hingga pendidikan tinggi serta latihan profesional, yang turut digunakan di beberapa negara termasuk United Kingdom, Afrika Selatan dan Singapura.

Ad Banner
Ad Banner

“Kandungan bahan rujukan TVET itu, dibangunkan berasaskan keperluan industri dan standard kompetensi yang diiktiraf, termasuk kerangka National Accredited Technical Education Diploma (NATED) dan National Certificate (Vocational) [NC(V)],” menurut kenyataan itu.

Kenyataan ITBM itu memaklumkan bahawa pendekatan berasaskan kompetensi itu, selari dengan pelaksanaan TVET di Malaysia yang menekankan kemahiran praktikal, kebolehpasaran graduan serta kesiapsiagaan memasuki alam pekerjaan.

Antara bidang yang diliputi termasuk kejuruteraan, teknologi elektrik, kimpalan, pembinaan, automotif, hospitaliti, pertanian, perniagaan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), yang merupakan sektor strategik dan keutamaan pembangunan negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ITBM Sakri Abdullah berkata saranan Timbalan Perdana Menteri itu tepat pada masanya, dalam memperkukuh ekosistem TVET dan pembangunan tenaga kerja masa hadapan.

Beliau berkata ITBM kini meneroka usaha menterjemah tajuk TVET terpilih ke dalam Bahasa Melayu, bagi memastikan kandungan teknikal bertaraf antarabangsa dapat dimanfaatkan lebih ramai pelajar dan tenaga pengajar.

“Penerbitan bahan TVET dalam Bahasa Melayu bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman dan keberkesanan pembelajaran, malah menyokong agenda pendemokrasian ilmu dengan memastikan akses yang lebih luas, inklusif dan sama rata kepada sumber ilmu berkualiti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ITBM akan menganjurkan sesi pembentangan khas bersama wakil Macmillan Education pada 5 Jun ini, bagi berkongsi perkembangan terkini dalam penerbitan TVET serta potensi penggunaannya, dalam memperkukuh ekosistem pendidikan negara.

ITBM turut memperkukuh kerjasama strategik dengan kementerian, institusi pendidikan, pemain industri serta rakan penerbitan dalam dan luar negara, bagi memperluas usaha penterjemahan serta penerbitan bahan TVET berimpak tinggi untuk kegunaan institusi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Amanah Rakyat (MARA), serta institusi pendidikan swasta.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan