Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sultan Ibrahim Berangkat Ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran

01/06/2026 02:32 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 di Istana Negara, di sini.

Turut berangkat ke istiadat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong itu ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ad Banner
Ad Banner

Perdana Menteri dan isteri kemudian mengiringi Seri Paduka Baginda berdua ke Peterana Diraja di Dataran Istana Negara bagi menerima Hormat Diraja daripada Kawalan Kehormatan Utama, Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Kawalan Kehormatan Utama itu terdiri daripada sembilan pegawai dan 180 anggota lain-lain pangkat diketuai Kapten Nor Saifullah Mahmad@ Mohammed.

Serentak itu, lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat RAMD dan Panji Peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan, diikuti tembakan meriam 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat).

Sultan Ibrahim kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama sebelum sekali lagi menerima Hormat Diraja bagi menandakan tamatnya istiadat di dataran itu. 

Seri Paduka Baginda berdua seterusnya diiringi Perdana Menteri dan isteri ke Balairung Seri bagi menyempurnakan istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 kepada 161 individu penerima.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, anggota Jemaah Menteri termasuk Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil  serta perwakilan asing.

Istiadat pengurniaan itu merupakan kali ketiga disempurnakan Sultan Ibrahim sejak Seri Paduka ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai 2024.

Secara keseluruhan, seramai 161 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan