Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Di Sebalik Nama Arese Nesi, Tersimpan Simbol Kasih Sayang Terhadap Raja

01/06/2026 03:06 PM

GEORGE TOWN, 1 Jun (Bernama) -- Bagi kebanyakan orang, nama hanyalah satu identiti, namun bagi R. Arese Nesi, 24, nama yang dibawanya sejak lahir merupakan simbol kasih sayang, kesetiaan dan penghormatan terhadap institusi Raja yang menjadi tunjang negara.

Lebih istimewa, nama Arese Nesi yang sebenarnya merupakan singkatan kepada ‘Arasanai-nesi’ dalam Bahasa Tamil yang membawa maksud kasih sayang atau cinta terhadap Raja itu diberikan oleh datuknya, S.Sivasubramaniam pada 1 Jun 2002, pada hari kelahirannya yang kebetulan jatuh pada sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Selepas 24 tahun, tarikh itu sekali lagi mencipta kebetulan yang cukup bermakna apabila Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tahun ini turut disambut pada 1 Jun 2026, bertepatan dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-24.

Ad Banner
Ad Banner

Arese Nesi berkata setiap kali menjelang hari lahirnya, beliau akan teringat akan makna mendalam di sebalik nama yang diberikan oleh datuknya yang merupakan pemuzik alat tradisional India dan seorang yang berpengetahuan luas dalam Kesusasteraan Bahasa Tamil dari Pulau Pinang.

"1 Jun sangat istimewa bagi saya kerana ia adalah hari saya dilahirkan dan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong. Ketika membesar, saya belajar untuk mencintai makna dan kekuatan di sebalik nama saya.

"Ketika ramai memilih nama moden, saya bersyukur kerana memiliki nama yang mempunyai makna yang begitu berharga,” kata pempengaruh media sosial itu kepada Bernama, hari ini.

Bagi Arese Nesi, nama itu bukan sekadar identiti yang tertera pada dokumen rasmi atau sekadar panggilan, tetapi satu anugerah yang mempunyai nilai tersendiri.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa nilai kasih sayang, cinta, taat dan setia kepada Yang di-Pertuan Agong seperti yang diterapkan dalam semangat Rukun Negara amat penting untuk dihayati oleh setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Juruhebah radio separuh masa stesen radio Tamil dalam talian tempatan itu berkata sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, institusi Raja perlu terus dihormati dan dipelihara oleh seluruh rakyat.

Anak kelahiran Klang, Selangor itu berkata makna yang terkandung dalam namanya juga sentiasa mengingatkan beliau tentang tanggungjawab besar yang dipikul sebagai seorang warganegara.

"Nama ini sentiasa mengingatkan saya tentang tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia kepada negara dan membuatkan saya lebih menghargai nilai kesetiaan, perpaduan serta semangat cintakan tanah air.

“Apabila orang mengatakan nama saya unik dan indah, ia mengingatkan saya betapa istimewanya nama itu. Saya juga sentiasa mahu menjadi individu yang unik dan memberikan yang terbaik dalam setiap perkara yang saya lakukan,” katanya.

Arese Nesi turut merakamkan penghargaan kepada datuknya yang memilih nama tersebut serta kedua-dua ibu bapanya yang menerima cadangan itu tanpa ragu-ragu dan menyifatkan diriinya sangat bertuah kerana memiliki nama yang mempunyai makna begitu mendalam serta berharga.

Lepasan Diploma Komunikasi Media dari Mahsa Avenue International College itu mengakui setiap kali menyambut ulang tahun kelahiran, perasaannya sedikit berbeza berbanding orang lain, lebih-lebih lagi apabila sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong turut jatuh pada tarikh yang sama tahun ini.

Walaupun masih muda, beliau percaya nama yang diwarisi sejak lahir itu akan terus menjadi panduan dalam perjalanan hidupnya dengan mengingatkannya tentang asal usul, tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dan pentingnya mengekalkan rasa kasih sayang terhadap negara serta institusi yang menjadi lambang perpaduan rakyat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan