KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) akan menganjurkan Forum Biodiversiti 2026 (Bio-D Forum 2026) pada 3 dan 4 Jun di The Everly, Putrajaya, bagi menggalakkan kerjasama dalam menangani konflik manusia dan hidupan liar dalam landskap ladang kelapa sawit.
MPOGCF dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa forum dwitahunan yang dianjurkan bersama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu akan berlangsung dengan tema “Kewujudan Bersama dalam Landskap Perladangan Kelapa Sawit Malaysia”.
Pengurus Besar MPOGCF Hairulazim Mahmud berkata forum itu, berfungsi sebagai platform penting bagi usaha pemuliharaan biodiversiti dan kerjasama strategik, yang bertujuan mengimbangi pembangunan ekonomi dengan pemuliharaan alam sekitar.
“Melalui forum ini, MPOGCF berharap lebih banyak pihak berkepentingan akan menyedari kepentingan kewujudan bersama, bukan sahaja untuk pemuliharaan biodiversiti tetapi juga bagi menyokong kestabilan pendapatan serta kelestarian jangka panjang operasi perladangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Forum itu bertujuan memperkukuh pemahaman, dialog dan kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan termasuk pemain industri, penggubal dasar, penyelidik, pakar pemuliharaan, agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sebanyak 500 peserta telah mengesahkan penyertaan mereka, sama ada secara fizikal atau maya, bagi membincangkan isu kewujudan bersama manusia dan hidupan liar, cabaran dalam pelaksanaan inisiatif kewujudan bersama, keterhubungan landskap serta pengurusan kelestarian biodiversiti.
Menurut kenyataan MPOGCF, forum itu mencerminkan komitmen mereka dalam memajukan agenda kelestarian industri minyak sawit Malaysia, menerusi pendekatan berasaskan sains, kerjasama pelbagai pihak berkepentingan dan inisiatif pemuliharaan yang memberi manfaat kepada alam sekitar serta komuniti setempat.
Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad Felo Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), akan menyampaikan ucaptama pada hari pertama forum, manakala Penasihat Perdagangan Prestige Group Muhammad Al-Shafieq Mustafah akan menyampaikan ucaptama pada hari kedua.
Forum tersebut akan menampilkan 20 penceramah dalam kalangan ahli akademik, agensi kerajaan, organisasi pemuliharaan dan industri perladangan. Selain itu, sebanyak 30 poster projek berkaitan tema dan topik forum akan dipamerkan serta dinilai sepanjang acara berlangsung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial