Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Warga Emas Hilang Di Jempol Ditemukan Selamat Selepas Empat Hari Operasi SAR

03/06/2026 04:27 PM

JEMPOL, 3 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas memasuki kebun sawit di Felda Palong 3 sejak Ahad lepas ditemukan selamat hari ini selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari keempat.

Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Jefri Jamal berkata mangsa Abdullah Alias, 78, ditemukan pada 12.10 tengah hari tadi di kawasan ladang sawit Palong 4 oleh seorang pekerja ladang, kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Beliau berkata mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Palong 4, 5 dan 6 untuk pemeriksaan kesihatan.

Ad Banner
Ad Banner

“Mangsa ditemukan oleh orang awam dan semasa ditemui mangsa kelihatan sangat lemah. Beliau dirujuk ke klinik kesihatan berhampiran dan dimaklumkan keadaannya baik, cuma sedikit lemah kerana hanya bergantung kepada air mineral yang dibawa bersamanya ke dalam kebun sebelum itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata operasi SAR dimulakan pada 9 pagi tadi melibatkan dua pegawai kanan dan 18 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dan dua Unit Anjing Pengesan (K9).

Turut terlibat dalam operasi itu ialah 22 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), empat anggota badan bukan kerajaan (NGO) serta 20 sukarelawan awam dan operasi SAR ditamatkan selepas mangsa ditemukan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Abdullah tidak pulang ke rumah selepas memasuki kebun sawit pada petang 31 Mei manakala motosikal yang ditunggangnya ditemukan berada di kawasan kebun berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan