Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perlis Perlu Berani Fikirkan Kaedah Inovatif Dalam Hadapi Cabaran Ekonomi - Raja Perlis

03/06/2026 05:40 PM

KANGAR, 3 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perlis perlu berani memikirkan kaedah inovatif bersesuaian dengan potensi tempatan dalam menghadapi cabaran ekonomi semakin kompleks, titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah ia termasuk memperkasakan sektor bernilai tinggi dan menarik pelaburan strategik serta memanfaatkan kelebihan geografi dan sumber sedia ada. 

Baginda bertitah pendekatan diambil hendaklah berasaskan amalan terbaik, yang telah terbukti berjaya sama ada dalam negara mahupun pada peringkat antarabangsa dengan mengambil kira kesesuaian konteks negeri.

Ad Banner
Ad Banner

“Tumpuan wajar diberikan kepada inisiatif yang berimpak tinggi dan mampu menjana pulangan jangka panjang, bukannya program-program bersifat sementara yang kurang memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri,” titah baginda semasa berkenan merasmikan pembukaan penggal keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks Seri Putra, di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Raja Perlis juga menekankan kepentingan usaha menjana pendapatan kepada negeri serta meneroka sumber hasil baharu yang lebih mampan dan berdaya tahan.

Sementara itu, Tuanku Syed Sirajuddin menegaskan setiap perbelanjaan hendaklah dilaksanakan secara berhemah, telus dan berintegriti serta memberi pulangan maksimum kepada rakyat dalam kesungguhan melaksanakan projek pembangunan di Perlis.

“Beta berpandangan, kemajuan yang sebenar bukan hanya diukur pada angka semata-mata, tetapi pada tahap kesejahteraan yang benar-benar dirasai oleh setiap lapisan masyarakat. Justeru itu, setiap dasar dan inisiatif hendaklah dirangka dengan teliti, berfokus kepada peningkatan kualiti hidup rakyat secara menyeluruh, inklusif dan berterusan,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin turut berharap kerajaan negeri sentiasa mengekalkan hubungan yang baik dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan kesejahteraan negeri itu terpelihara.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan