Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Institusi TVET Tawar Peluang Luas Kepada Anak Perlis

05/06/2026 02:07 PM

KANGAR, 5 Jun (Bernama) -- Peluang bagi anak-anak Perlis menyertai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak terjejas meskipun negeri itu belum memiliki Pusat Pembangunan Kemahirannya sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pendidikan, Perpaduan, Kebajikan dan Pembasmian Kemiskinan negeri Datin Marzita Mansor berkata ini berikutan Perlis mempunyai pelbagai institusi TVET berdaftar untuk memberi peluang lebih luas, khususnya kepada golongan muda memilih bidang berkenaan.

Beliau berkata antaranya Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) TVET Centre, Institut Kemahiran MARA (IKM) Beseri, GIATMARA di Kangar dan Arau serta Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Kampus Kangar.

Ad Banner
Ad Banner

“Kerajaan negeri turut menjalin kerjasama strategik dengan institusi TVET kerajaan dan swasta dalam usaha memperluas penyertaan anak-anak Perlis dalam bidang ini. Misalnya, kursus TVET secara percuma kepada 100 anak-anak asnaf yang diadakan dengan kerjasama KHTP Skills Centre dan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs pada Januari lepas,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis  di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang-PN) yang ingin tahu kesediaan kerajaan negeri mewujudkan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri untuk melengkapkan ekosistem TVET negara dan sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dan industri bagi melahirkan pekerja berkemahiran.

Marzita berkata TVET mampu menjadi platform mobiliti sosial yang signifikan serta pemangkin kepada minat generasi muda terhadap bidang itu sekali gus melahirkan graduan berpendapatan tinggi dan berdaya saing.

“Sebagai contoh, dua pelajar lepasan IKBN Kuala Perlis dalam bidang marin berjaya memperoleh  pendapatan melebihi RM5,000 sebulan, manakala seorang pelajar telah berjaya mendapat pekerjaan dalam sektor offshore di Iran dengan pendapatan mencecah RM30,000 sebulan,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan