Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Sasar 650,000 Pelajar Ikuti TVET Tahun Ini - Ahmad Zahid

05/06/2026 07:09 PM

PUTRAJAYA, 5 Jun (Bernama) -- Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 650,000 pelajar mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di 1,395 institusi TVET di seluruh negara menjelang 31 Dis ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sasaran itu dibuat susulan peningkatan ketara penyertaan pelajar dalam bidang TVET yang kini semakin mendapat perhatian ibu bapa dan pelajar sebagai laluan pendidikan dan kerjaya.

"Tahun lepas kita memperoleh kira-kira 587,000 yang memasuki institusi TVET berbanding dengan permulaan apabila Majlis TVET ini diwujudkan kira-kira 121,000.

Ad Banner
Ad Banner

"Ini memperlihatkan bahawa kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan pelajar yang memasuki TVET ini makin bertambah dan penambahan lima kali ganda ini merupakan satu pencapaian yang cukup baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak pameran sambutan Hari TVET Negara 2026 di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata Hari TVET Negara berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 7 Jun bertujuan memperkenalkan TVET bertaraf tinggi kepada pelajar institusi TVET di seluruh negara serta bakal pemohon.

Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memenuhi permintaan pasaran tenaga kerja khususnya dalam melahirkan tenaga kerja mahir tempatan untuk memenuhi keperluan industri.

"Kita mesti memenuhi permintaan pasaran tenaga kerja dalam bidang TVET ini terutamanya untuk mewujudkan tenaga mahir bagi industri yang memerlukan tenaga mahir dari Malaysia dan ini secara langsung akan mempertingkatkan gaji permulaan kepada lepasan TVET," katanya.

Beliau berkata kerajaan turut menyasarkan TVET menjadi pilihan utama pelajar walaupun laluan akademik melalui institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) terus diperkasakan.

Beliau berkata fokus TVET ketika ini adalah memenuhi permintaan sebenar pasaran tenaga kerja di seluruh negara.

Hari TVET Negara 2026 mengangkat tema "TVET Pilihan Utama Kerjaya" dijangka menarik kehadiran 500,000 pengunjung.

Sepanjang tiga hari penganjuran, Hari TVET Negara 2026 menyajikan pelbagai program serta aktiviti menarik bagi memberi peluang kepada pengunjung menerokai enam hab utama, iaitu penglibatan institusi TVET dan industri, seminar TVET, karnival kerjaya TVET, usahawan TVET, cabaran TVET serta hiburan berinformasi TVET.

Kemuncak sambutan Hari TVET Negara esok akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan