Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

GTPC Sasar 1,000 Syarikat Dan Sehingga 100,000 Penempatan Pekerjaan

06/06/2026 06:00 PM

PUTRAJAYA, 6 Jun (Bernama) --  Pusat Penempatan TVET GITC (GTPC) yang merupakan ekosistem penempatan bakat TVET kebangsaan pertama di negara ini menyasarkan penyertaan 1,000 syarikat menjelang akhir tahun ini dan antara 50,000 hingga 100,000 penempatan pekerjaan menjelang tahun depan.

Pengerusi Badan Penyelarasan TVET Kerajaan-Industri (GITC) Tan Sri Dr Soh Thian Lai berkata pelancaran GTPC menandakan permulaan perjalanan yang lebih luas untuk mengukuhkan hubungan antara bakat TVET dan peluang industri. 

“Sebagai langkah awal, kami menetapkan sasaran yang jelas iaitu 1,000 syarikat menyertai (program ini) menjelang akhir tahun ini dan secara berperingkat antara 10,000 hingga 20,000 syarikat dalam jangka masa panjang.

Ad Banner
Ad Banner

“Kami juga menyasarkan antara 50,000 hingga 100,000 penempatan pekerjaan menjelang tahun depan selain memperluas peluang untuk Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL), perantisan dan latihan industri,” katanya pada majlis pelancaran GTPC sempena sambutan Hari TVET Negara 2026 di sini hari ini.

Soh berkata sasaran itu bukan sekadar angka tetapi berfungsi sebagai ukuran keberkesanan ekosistem itu dalam menghubungkan bakat dengan peluang serta mengurangkan ketidakpadanan antara penawaran kemahiran dan permintaan industri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang terdahulu merasmikan pelancaran GTPC menyifatkan platform itu sebagai ekosistem penempatan bakat TVET kebangsaan bersepadu pertama di negara ini yang menghubungkan pelajar, graduan, institusi dan industri melalui rangka kerja yang berstruktur.

Beliau berkata platform itu membolehkan pemain industri menyatakan keperluan bakat mereka serta menawarkan latihan industri, perantisan dan peluang pekerjaan selain membolehkan pelajar dan graduan membina profil, mempamerkan kecekapan dan mendapatkan penempatan.

“Institusi juga boleh memantau kemajuan pelajar dan mengukuhkan penglibatan dengan pihak industri untuk memastikan latihan sentiasa selaras dengan keperluan tenaga kerja,” katanya.

Ahmad Zahid berkata pelancaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0 hari ini juga memberi isyarat anjakan baharu ke arah ekosistem TVET yang lebih responsif dan dipacu oleh keperluan industri.

Beliau juga menegaskan TVET bukan lagi laluan kedua, sebaliknya telah menjadi laluan utama ke arah pekerjaan berkualiti, pendapatan lebih baik, mobiliti sosial dan daya saing ekonomi negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan