Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Projek KL360@ Menara GD Dipulihkan Semula, Janjikan Kehidupan Dan Harapan Baharu

06/06/2026 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Bayangkan anda menikmati pemandangan Kuala Lumpur dari sudut 360 darjah dari dek pemerhatian seluas 25,000 kaki persegi, berenang di kolam sepanjang 60 meter yang terletak lebih 60 tingkat dari aras tanah, meneroka zon permainan air di udara, atau meluncur di gelongsor kaca yang dijangka antara terpanjang di Malaysia.

Pengalaman seperti itu, yang lazimnya dikaitkan dengan destinasi pelancongan bertaraf dunia, tidak lama lagi akan menjadi sebahagian daripada kehidupan bandar moden di KL360 @ Menara GD, projek pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.37 bilion di daerah pusat perniagaan Kuala Lumpur, di Jalan Tun Razak.

Terletak secara strategik bersebelahan dengan stesen Transit Aliran Massa (MRT) Raja Uda, projek ini menandakan kebangkitan semula pembangunan terbengkalai yang tergendala hampir sedekad, sekali gus menghidupkan semula harapan pembeli yang menantikan perkembangan projek itu selama bertahun-tahun.

Ad Banner
Ad Banner

Pada asalnya, projek itu dilancarkan sebagai M101 Skywheel pada 2017, namun pembangunannya terhenti akibat pelbagai cabaran termasuk pandemik COVID-19, kelewatan pembinaan yang berpanjangan dan kekangan kewangan pascapandemik, yang menjejaskan 337 pembeli dengan nilai keseluruhan Perjanjian Jual Beli (SPA) melebihi RM306 juta.

Kini, projek itu dibangunkan semula di bawah GD Properties, dan diselamatkan dengan sokongan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta kerjasama rapat dengan beberapa pihak berkepentingan utama, sekali gus membuka lembaran baharu kepada pembeli yang terjejas dan komuniti setempat.

Beucap pada majlis pecah tanah projek itu di sini hari ini, Timbalan Pengerusi GD Properties Group Datuk Wong Seng Tong berkata syarikat berkenaan percaya kerjasama antara sektor awam dengan swasta menjadi kunci dalam mewujudkan impak sosial yang positif, selaras dengan sasaran KPKT untuk mencapai sifar projek perumahan terbengkalai menjelang 2030.

Wong berkata sokongan yang semakin meningkat daripada sektor perbankan mencerminkan keyakinan institusi kewangan terhadap kedudukan dan potensi jangka panjang projek ini.

“Kami juga berbesar hati ingin berkongsi bahawa perbincangan sedang diadakan dengan beberapa institusi kewangan lain dan kami optimis dapat mengalu-alukan tambahan lapan hingga 10 rakan perbankan untuk menyertai panel pembiayaan akhir kami dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GD Properties Group Ng Khoon Haur berkata pembangunan semula projek ini menandakan titik perubahan bagi sebuah tapak yang hampir sedekad menjadi simbol ketidakpastian dan kekecewaan di ibu negara.

Ng berkata KL360 @ Menara GD bukan sekadar sebuah pembangunan, tetapi beliau turut berharap menara itu akan menjadi bukan sahaja mercu tanda fizikal, malah juga sebagai simbol bahawa dengan komitmen dan tenaga kerja yang tepat, projek yang mencabar sekali pun dapat diberi masa depan baharu.

“Kami percaya projek ini akan menjadi tambahan yang bermakna kepada latar langit Kuala Lumpur, dan sebuah pembangunan yang boleh dibanggakan oleh bandar raya ini,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada KPKT serta rakan strategik termasuk Bank Rakyat dan China State Construction Engineering (M) Sdn Bhd (CSCEC Malaysia) atas sokongan mereka.

Pengurus Besar CSCEC Malaysia Xu Xiao Bing pula berkata syarikat berkenaan komited untuk menyiapkan projek tersebut mengikut piawaian antarabangsa.

“KL360 mesti dibina mengikut piawaian antarabangsa tertinggi. Kami akan mengekalkan kawalan kualiti yang ketat pada setiap peringkat pembinaan, menjunjung semangat ketukangan dan memastikan setiap perincian mencerminkan kecemerlangan,” katanya dalam ucapan pada majlis itu.

Dalam pada itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata projek berkenaan membuktikan bahawa pembangunan yang pernah terbengkalai masih boleh dipulihkan menerusi iltizam politik yang kukuh, kerjasama strategik sektor awam dan swasta serta komitmen semua pihak berkepentingan.

“Hari ini bukan sekadar permulaan kerja-kerja pembinaan. Ia melambangkan pemulihan keyakinan, pembinaan semula kepercayaan dan pelaksanaan tanggungjawab yang telah terlalu lama tertangguh. Setiap projek yang dipulihkan mewakili keluarga sebenar, aspirasi yang nyata dan pembaharuan masa depan untuk para pemilik rumah,” katanya dalam ucapan perasmian. 

Dengan konsep sebagai mercu tanda seni bina dan pelancongan yang sebaris dengan struktur ikonik Kuala Lumpur seperti Menara Berkembar Petronas, Tun Razak Exchange (TRX), Merdeka 118 dan Menara KL, KL360 @ Menara GD bakal menjadi antara pembangunan bercampur tertinggi di ibu kota ini.

Projek itu akan merangkumi 785 apartmen servis, 221 suite pejabat dan 20 unit runcit, selain dilengkapi dengan 40 kemudahan kesejahteraan, kecergasan dan gaya hidup.

Kemudahan berkenaan direka untuk memenuhi pelbagai aktiviti termasuk bola pikel, bola keranjang, yoga dan CrossFit, dengan projek itu dijangka siap sepenuhnya pada 2030.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan