Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Selangor Perkukuh Pembangunan Wanita Menerusi Jelajah Wanita Berdaya Tahan 2026

06/06/2026 07:34 PM

SUBANG JAYA, 6 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor menerusi Wanita Berdaya Selangor (WBS) terus memperkukuh agenda pemerkasaan wanita, menerusi penganjuran Jelajah Wanita Berdaya Tahan Selangor 2026.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari berkata jelajah itu, memberi fokus kepada aspek pembangunan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kesiapsiagaan keluarga dalam menghadapi cabaran semasa.

Beliau berkata penganjuran jelajah itu juga, selaras dengan Dasar Wanita Selangor 2024-2026 serta Dasar Ekonomi Penjagaan 2024-2030, yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Ad Banner
Ad Banner

“Apabila berlakunya konflik di Asia Barat, mungkin ada dalam kalangan masyarakat yang diberhentikan kerja atau mahu meneroka peluang baharu. Jelajah ini menghimpunkan pelbagai agensi di bawah satu bumbung, supaya memudahkan rakyat mendapatkan maklumat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program jelajah itu di sini hari ini.

Anfaal berkata bagi menyokong wanita kembali bekerja dan menguasai kemahiran digital termasuk kecerdasan buatan (AI), jelajah itu turut mengetengahkan Karnival Kerjaya Wanita dan Bengkel Career Comeback dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).

Siri jelajah itu akan merentasi lima zon bermula di zon Petaling, sebelum diteruskan ke Hulu Langat, Hulu Selangor, Gombak dan berakhir di Kuala Selangor.

Dalam usaha memperkukuh sokongan terhadap golongan ibu tunggal di Selangor, Anfaal berkata Yayasan Menteri Besar Selangor (MBI), memperuntukkan dana sebanyak RM100,000 pada tahun ini untuk menyalurkan bantuan bakul makanan serta baucar Program Kita Selangor bernilai RM100 sebulan bagi tempoh enam bulan, bermula bulan depan.

Beliau berkata bagi golongan warga emas, geran berjumlah RM50,000 diperuntukkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor bagi pelaksanaan 10 program komuniti terpilih sepanjang tahun ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Anfaal berkata kerajaan negeri kini giat memperkukuh ekosistem penjagaan kanak-kanak serta perlindungan sosial bagi pengasuh untuk mengurangkan beban kerja penjagaan tidak berbayar yang dipikul golongan wanita.

“Kita mahu memastikan wanita tidak perlu memilih antara kerjaya dan keluarga. Apabila sesebuah keluarga mempunyai lebih daripada satu sumber pendapatan, mereka lebih bersedia menghadapi sebarang krisis ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan