KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang meneliti dua kertas siasatan membabitkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki yang diterima daripada polis pada Khamis lepas.
Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat memandangkan AGC memerlukan sedikit masa bagi meneliti dokumen berkenaan.
"Kedua-dua kertas siasatan terbabit kita terima pada Khamis lepas dan AGC masih lagi meneliti kertas-kertas siasatan tersebut. Belum ada apa-apa keputusan dibuat setakat ini mengenainya.
“Sedikit masa diperlukan untuk penelitian dibuat bagi apa jua penentuan mengenai kedudukan siasatan berkenaan. Once (sebaik sahaja) penelitian selesai dijalankan oleh AGC, apa-apa jua keputusan akan diambil kelak. Let us study the matter thoroughly (Biarkan kami teliti perkara ini dengan mendalam)," katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama di sini hari ini.
Hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata dua kertas siasatan melibatkan Azam telah dirujuk kepada AGC untuk tindakan selanjutnya.
Pada Rabu lepas, Kumar berkata PDRM telah merakamkan keterangan Azam mengikut peruntukan Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan.
Beliau berkata kes pertama membabitkan siasatan berhubung laporan artikel Bloomberg.com yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah tentang pemilikan saham Velocity Capital Partner Berhad.
Kes kedua pula berkaitan dengan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan ugutan jenayah terhadap seorang ahli perniagaan, iaitu Albert Tei.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial