BATU PAHAT, 6 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri dan Pusat perlu bergandingan bagi membentuk kestabilan yang kukuh dalam menghadapi cabaran ekonomi akan datang demi kepentingan rakyat, kata Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata ketidakstabilan politik negara yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum 2018 sepatutnya menjadi iktibar kepada semua pihak termasuk pengundi agar situasi sedemikian tidak berulang.
Mohamad berkata semua pihak perlu memberi ruang secukupnya kepada kerajaan, sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan, untuk melengkapkan penggal pentadbiran masing-masing bagi memberikan khidmat terbaik.
“Untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) (Johor) kita perlu memastikan selepas ini ada gandingan antara negeri dan Pusat tetapi di peringkat Pusat kita harus membenarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menamatkan tugasannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Johor di Kim’s Park Business Center, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan berkata pengundi khususnya di negeri ini, dilihat semakin matang dalam membuat pilihan politik dan mengutamakan kestabilan kerajaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
Beliau yang juga Pengerusi Amanah Johor menyifatkan PRN akan datang sebagai medan penentuan sebenar, berbeza dengan situasi PRN Johor sebelum ini yang mencatatkan peratusan keluar mengundi yang rendah, iaitu sekitar 55 peratus sahaja.
Katanya situasi hambar pada waktu itu disebabkan rakyat masih bimbang dengan kesan penularan wabak COVID-19, namun situasi kini sudah berubah dan pengundi tidak perlu berasa takut lagi untuk keluar menunaikan tanggungjawab.
“Dulu (PRN 2022) 55 peratus sahaja yang keluar mengundi dan saya yakin pada PRN akan datang ini lebih ramai rakyat akan keluar mengundi dan akan bijak memilih untuk keselesaan mereka kerana mereka tahu siapa yang telah banyak membantu menerusi pelbagai program rakyat,” katanya.
PRN Johor pada 2022 menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH memperoleh 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) satu kerusi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial