Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

US Pizza Catat Rekod Jenama Piza Tempatan Dengan Cawangan Bersijil Halal Terbanyak

07/06/2026 02:02 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Jenama piza tempatan, US Pizza, menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori "Most Halal Certified Local Pizza Outlets" di negara ini.

Menerusi kenyataan hari ini, US Pizza memaklumkan pengiktirafan berkenaan diberikan dalam satu majlis yang berlangsung di pusat beli-belah DPULZE, Cyberjaya, semalam, dengan turut dihadiri wakil media, pemimpin pendapat utama (KOL), rakan niaga, pembekal, vendor serta peminat jenama itu. 

Acara itu turut dimeriahkan dengan kehadiran pengacara radio, DJ, usahawan serta bekas menteri Khairy Jamaluddin yang bertindak selaku pengurus cawangan jemputan.

Ad Banner
Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif US Pizza Deric Yeo berkata pengiktirafan berkenaan adalah berdasarkan hasil komitmen syarikat dalam memastikan seluruh cawangannya mendapat pensijilan halal sepenuhnya, sekali gus mencerminkan penghormatan jenama tersebut terhadap rakyat Malaysia.

“Kami tidak melakukannya (pensijilan halal) kerana diwajibkan, sebaliknya kerana setiap rakyat Malaysia berhak menjamu selera dengan tenang dan yakin. Itulah tanggungjawab dan penghormatan kami. Itulah yang wajar menjadi pegangan jenama tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Yeo berkata salah tanggapan selama ini ialah US Pizza adalah jenama Amerika Syarikat, sedangkan syarikat terbabit sebenarnya 100 peratus milik Malaysia, yang diasaskan dan dibangunkan di dalam negara sebagai jenama tempatan untuk rakyat tempatan.

Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada pembekal dan vendor jenama itu, yang disifatkan sebagai tulang belakang dalam kejayaan US Pizza, di samping menyatakan syarikat berkenaan tidak akan mencapai kejayaan pada masa ini tanpa kualiti bahan dan kepercayaan yang diberikan mereka.

US Pizza, katanya merancang untuk memperluas rangkaiannya, di samping mengekalkan pensijilan halal dan identiti tempatan sebagai teras operasi perniagaan.

“Terima kasih kepada Pengerusi Persatuan Francais Malaysia Datuk Dr Radzali Hassan, para pengarah, rakan niaga, pembekal, vendor, rakan media, KOL serta yang paling utama ialah peminat kami. Ini (US Pizza) jenama milik Malaysia,” katanya.

Pada majis itu, US Pizza dan Khairy turut serta dalam permainan interaktif bersama KOL bagi memenangi hadiah serta piza, dalam suasana yang meriah dengan sorakan penyokong, manakala Yeo mencampak doh dan menghidangkan piza yang siap dibakar dari ketuhar.

“Saya sentiasa percaya dalam menyokong jenama tempatan. US Pizza sememangnya jenama Malaysia. Hari ini saya ‘turun padang’ berseronok bersama peminat, dan piza yang disajikan memang lazat,” kata Khairy.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan