KUANTAN, 7 Jun (Bernama) -- Perkongsian lokasi semasa menerusi telefon bimbit membantu pasukan penyelamat mengesan dan menemukan seorang pelancong lelaki warga Amerika Syarikat (AS) yang dilaporkan sesat ketika menjalani aktiviti mendaki di Pulau Tioman malam tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan mangsa pada 5.30 petang semalam, selepas pelancong berkenaan gagal kembali ke penginapannya di sebuah resort setelah menjalankan aktiviti itu di laluan lama Kampung Tekek-Kampung Juara.
“Mangsa ditemukan pada 8.33 malam di kawasan hutan Bukit Parang, Kampung Tekek dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Mangsa telah dibawa keluar dari kawasan hutan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata laluan itu mempunyai banyak persimpangan, cabang jalan dan tidak lagi digunakan sebagai laluan utama oleh penduduk setempat.
“Pada masa kini, laluan itu sering digunakan oleh pelancong sebagai trek ‘hiking’ dan rekreasi. Siasatan mendapati punca mangsa tersesat adalah kerana tersalah memilih satu daripada cabang laluan yang menyebabkan beliau gagal keluar dari kawasan hutan berbukit berkenaan,” katanya.
Sharif Shai berkata operasi pencarian dijalankan oleh Polis Balai Tioman dan dibantu pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Tioman.
Beliau menasihatkan pelancong yang ingin menjalankan aktiviti pendakian atau rekreasi di kawasan hutan supaya membuat persediaan secukupnya, memaklumkan pergerakan kepada pihak berkaitan serta memastikan peranti komunikasi berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial