TAPAH, 7 Jun (Bernama) -- Penghargaan dan bantuan yang dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada keluarga masyarakat Orang Asli yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita Jaslinda Saludin disifatkan sebagai pengiktirafan terhadap keupayaan serta sumbangan komuniti itu dalam membantu pihak berkuasa.
Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak bagi Hal Ehwal Masyarakat Orang Asli Chew Ho Beng berkata ia membuktikan kepentingan pengetahuan Orang Asli mengenai kawasan hutan dan pedalaman, khususnya dalam operasi melibatkan medan mencabar.
Beliau berkata penglibatan Orang Asli sepanjang operasi itu mencerminkan semangat kerjasama yang tinggi, selain kesediaan mereka membantu menelusuri kawasan hutan yang mencabar bagi mempercepatkan usaha mengesan mangsa.
“Penghargaan yang diberikan oleh beliau (TPM) amat bermakna kerana ia mengiktiraf peranan Orang Asli sebagai rakan strategik kepada pasukan penyelamat dalam operasi di kawasan hutan.
“Ia juga membuktikan pengetahuan tradisional dan pengalaman mereka mengenai selok-belok hutan menjadi aset penting yang boleh dimanfaatkan dalam operasi kecemasan,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Orang Asli Ampang Woh di sini hari ini.
Chew berkata beliau turut menghargai keprihatinan kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang menyalurkan bantuan kepada keluarga sukarelawan Orang Asli yang terlibat dalam operasi berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pejabat Menteri Besar Perak dan Ahli Parlimen Tapah, termasuk pejabat Timbalan Presiden MCA yang menyalurkan sumbangan bagi menjaga kebajikan sukarelawan.
Semalam, Ahmad Zahid dalam satu hantaran di Facebooknya menzahirkan rasa syukur selepas Jaslinda yang dilaporkan hilang ketika mendaki di Gunung Batu Putih, Tapah ditemukan selamat petang semalam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi SAR, termasuk pasukan keselamatan, agensi penyelamat, sukarelawan dan masyarakat Orang Asli yang membantu sehingga mangsa berjaya ditemukan.
Sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan mereka, Ahmad Zahid berkata JAKOA turut menyalurkan bantuan kepada keluarga Orang Asli yang terlibat dalam operasi berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial