Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Usaha Lebih Giat Perlu Dalam Pengurusan Hutan Di Sepanjang Banjaran Nakawan - Raja Perlis

07/06/2026 05:15 PM

KANGAR, 7 Jun (Bernama) -- Usaha lebih giat perlu dilakukan dalam pengurusan hutan di sepanjang Banjaran Nakawan di Perlis kerana ia bukan sekadar landskap hutan tetapi khazanah negeri itu yang amat berharga dan aset negara yang wajar dipelihara sebaiknya.

Sehubungan dengan itu, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru semua pihak bersama-sama mengambil peranan sewajarnya dalam memastikan usaha pemeliharaan itu mencapai objektifnya.

“Di kesempatan ini juga, saya menyeru kepada semua terutamanya rakyat negeri Perlis untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti pemeliharaan hutan. Usaha ini perlu dipikul secara bersama dari segenap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, status dan usia,” titah baginda.

Ad Banner
Ad Banner

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan majlis penutup Nakawan Rainforest Festival bersempena dengan sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri di Taman Eko Rimba Bukit Ayer, Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat, di sini hari ini.

Turut berangkat sama ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Raja Perlis bertitah baginda amat yakin Jabatan Perhutanan akan terus unggul dalam menerajui usaha pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah hutan dan alam di negeri Perlis selari dengan visi jabatan, iaitu menjadi peneraju terunggul dalam pengurusan hutan tropika secara lestari.

Sementara itu, baginda bertitah penganjuran festival itu sangat signifikan dalam usaha Kerajaan Negeri Perlis memartabatkan usaha pemeliharaan kepelbagaian biologi, pengekalan nilai geologi, dokumentasi nilai arkeologi, penghayatan nilai budaya dan tradisi setempat yang berada di sepanjang Banjaran Nakawan.

Selain itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah festival yang berlangsung dari 30 Mei hingga hari ini itu juga menjadi wadah bagi usaha memupuk kesedaran orang awam tentang kepentingan hutan dan tanggungjawab masyarakat dalam usaha pemeliharaan dan penjagaan hutan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan