Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PM Mahu IPTA, Universiti Jepun Pererat Kerjasama Dalam Penyelidikan Teknologi Kuantum - Fahmi

12/06/2026 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu hubungan antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan universiti di Jepun dipererat, khususnya dalam meneroka bidang penyelidikan termaju seperti teknologi kuantum.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata penekanan itu disuarakan Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, susulan lawatan rasmi beliau ke Jepun yang berakhir semalam.

“Ini (teknologi kuantum) satu bidang yang sangat penting, termasuk dalam usaha untuk mengguna pakai kriptologi kuantum dan penyulitan kuantum,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kolaborasi akademik tersebut amat penting bagi membolehkan institusi tempatan menguasai teknologi masa hadapan yang berupaya memacu agenda digitalisasi negara.

Sehubungan itu, Fahmi berkata Perdana Menteri juga mahu usaha jalinan strategik sedia ada, termasuk kerjasama antara Keio University di Jepun dan Universiti Malaya (UM) dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi.

Pada masa sama, Fahmi berkata Anwar turut meminta lebih banyak universiti tempatan mengambil inisiatif proaktif dengan menjalin kerjasama erat dengan universiti terkemuka di Jepun dalam pelbagai bidang strategik.

Beliau berkata langkah itu selari dengan hasil perbincangan Perdana Menteri bersama pelabur di negara itu yang merangkumi sektor kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, teknologi digital, mineral kritikal serta rantaian bekalan yang berdaya tahan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan