SIPITANG, 13 Jun (Bernama) -- Projek Sabah Southern MADANI Link (SSML) yang dilancarkan hari ini dijangka mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Sabah menerusi penyediaan sistem bekalan elektrik lebih stabil, kukuh dan berkualiti bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri pada masa depan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata projek yang sekian lama dinantikan rakyat Sabah itu bukan sekadar projek infrastruktur penghantaran elektrik, malah merupakan pelaburan strategik yang akan memberi kesan besar kepada kestabilan serta kemampanan bekalan tenaga negeri.
Beliau berkata projek berkenaan turut memperkukuh jaringan penghantaran elektrik negeri, meningkatkan kestabilan sistem grid serta mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik yang boleh menjejaskan aktiviti ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Projek ini juga amat penting untuk membawa Sabah ke fasa pembangunan yang seterusnya apabila pelbagai sektor strategik seperti pembuatan, industri minyak dan gas, pemprosesan hiliran, pelancongan, pertanian moden, pusat data digital serta industri berasaskan teknologi dapat menikmati bekalan tenaga yang stabil, mencukupi dan berkualiti.
“Justeru, pembangunan sektor tenaga bukan lagi sekadar memenuhi keperluan semasa, sebaliknya menjadi asas kepada perancangan masa depan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Sabah Southern MADANI Link yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Persatuan Kebudayaan Lundayeh di sini hari ini.
Hajiji berkata projek berkenaan yang diluluskan Kerajaan Persekutuan membuktikan komitmen berterusan Perdana Menteri dalam menyokong program pembangunan Sabah, khususnya bagi memenuhi keperluan asas rakyat melalui penyediaan infrastruktur tenaga yang lebih berdaya tahan.
Beliau berkata pelaksanaan projek itu juga mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan Sabah memiliki sistem bekalan elektrik lebih stabil, kukuh dan berkualiti.
Selain itu, Hajiji berkata kerajaan negeri telah menetapkan hala tuju pembangunan sektor tenaga menerusi Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SE-RAMP) 2040 dengan berpaksikan tiga teras utama iaitu keselamatan tenaga, akses tenaga yang saksama dan kemampanan tenaga.
Beliau berkata pelan itu menjadi panduan utama kerajaan bagi memastikan bekalan tenaga bukan sahaja mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa, malah mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negeri dalam jangka panjang.
Pada masa sama, beliau berkata pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharu juga akan terus dipergiat memandangkan Sabah mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab tenaga hijau di Pulau Borneo.
“Dengan sumber hidro yang melimpah, kadar sinaran suria tinggi sepanjang tahun serta potensi biojisim luas, Sabah berada pada kedudukan strategik untuk menerajui pembangunan tenaga bersih di rantau ini.
“Potensi ini bukan sahaja mampu menarik pelaburan bernilai tinggi, malah mewujudkan peluang ekonomi baharu serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.
Hajiji berkata infrastruktur tenaga yang kukuh juga amat penting bagi menyokong pembangunan kawasan perindustrian strategik seperti Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP), Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Lahad Datu serta pelbagai kawasan perindustrian dan hab pertumbuhan ekonomi sedang dirancang di seluruh negeri.
Kesemua kawasan berkenaan memerlukan bekalan tenaga elektrik yang stabil dan mencukupi bagi menyokong aktiviti industri serta menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa.
“Projek Sabah Southern MADANI Link bukan sahaja meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik antara wilayah, malah menyediakan kapasiti diperlukan untuk mengintegrasikan lebih banyak sumber tenaga boleh diperbaharu ke dalam sistem grid Sabah pada masa hadapan,” katanya.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas sokongan diberikan terhadap pelaksanaan projek berkenaan serta kepada semua pihak yang menjayakan usaha itu.
“Semoga projek ini menjadi asas kepada masa depan Sabah yang lebih gemilang dengan bekalan tenaga yang stabil, ekonomi yang terus berkembang pesat dan kemajuan yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat negeri ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial