SINTOK,14 Jun (Bernama) -- Kualiti pendidikan tinggi negara kekal diiktiraf pada peringkat antarabangsa dan tidak mempunyai kaitan dengan isu kebolehpasaran graduan tempatan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.
Beliau berkata graduan masa kini perlu memiliki nilai tambah dan pelbagai kemahiran bagi membolehkan mereka bersaing dalam pasaran pekerjaan yang semakin mencabar, kerana pencapaian akademik cemerlang sahaja tidak lagi menjamin seseorang graduan memperoleh pekerjaan.
“Persaingan mendapatkan pekerjaan pada masa kini sangat sengit dan graduan perlu melengkapkan diri dengan kemahiran tambahan seperti penguasaan pelbagai bahasa, pemikiran kritis serta menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi dan kehendak industri.
“Purata nilai gred keseluruhan (CGPA) yang baik hanya membolehkan seseorang graduan dipanggil menghadiri temu duga, namun kejayaan mendapatkan pekerjaan bergantung kepada nilai tambah yang dimiliki. Akademik merupakan syarat asas, tetapi dunia pekerjaan hari ini memerlukan lebih daripada itu,” katanya pada program Graduate Employability: Antara Realiti dan Ekspektasi di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini hari ini.
Mohammad Shatar berkata dakwaan kononnya kualiti pendidikan tinggi negara semakin merosot sehingga graduan sukar mendapat pekerjaan adalah tidak berasas.
Beliau berkata semua program pengajian yang ditawarkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta di bawah akreditasi MQA memenuhi piawaian antarabangsa dan dibangunkan dengan mengambil kira keperluan industri.
Sementara itu, Naib Canselor UUM Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata universiti itu terus memperkukuh kurikulum pengajiannya bagi memastikan setiap program sentiasa relevan dengan keperluan industri semasa, termasuk menerapkan elemen kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai bidang pengajian.
Beliau berkata pihak universiti sentiasa mendapatkan pandangan daripada pemain industri melalui Majlis Perundingan Industri, selain bakal memperkenalkan panel penasihat industri antarabangsa melibatkan syarikat multinasional bagi memastikan program yang ditawarkan memenuhi keperluan semasa.
UUM turut memberikan penekanan terhadap pensijilan profesional dan melaksanakan program School of Hard Knocks (SoHK), yang memberikan pendedahan industri kepada pelajar tahun akhir bagi meningkatkan peluang mereka mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.
“Program-program yang ditawarkan sentiasa ditambah baik agar graduan UUM kekal kompetitif dan menjadi pilihan industri pada peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial