Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Hijrah Selangor Sasar 4,000 Usahawan Terima Manfaat Program HIGHub Menjelang 2030

14/06/2026 05:26 PM

SABAK BERNAM, 14 Jun (Bernama)  -- Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) memperkenalkan program Hijrah Innovation & Growth Hub (HIGHub) untuk memacu agenda pendigitalan perniagaan secara menyeluruh dengan daerah Sabak Bernam sebagai lokasi rintis.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata inisiatif itu menjadi pusat sehenti yang menyediakan akses kepada latihan keusahawanan, fasiliti digital serta jaringan pasaran yang lebih meluas khusus kepada komuniti usahawan mikro.

“Ini projek rintis pertama digerakkan di bawah Hijrah Selangor dengan kita menggunakan sebuah premis untuk membangunkan pusat yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan untuk pelbagai program, selain mendapatkan khidmat nasihat atau perundingan.

Ad Banner
Ad Banner

“Kerajaan negeri komited memastikan peluang serta teknologi dapat dibawa lebih dekat kepada komuniti usahawan yang memerlukannya, dengan hab ini menyasarkan penglibatan 300 usahawan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program itu di Ruang Daya Cipta (RDC) Sabak Bernam hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Hijrah Selangor dan Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Selangor Datuk Mearia Hamzah.

Mohd Najwan berkata penubuhan hab itu menandakan evolusi peranan agensi daripada sekadar penyedia pembiayaan mikro kepada pemangkin pembangunan kapasiti dan transformasi teknologi yang lebih holistik.

Beliau berkata setiap usahawan berdaftar kini berpeluang menggunakan studio digital, makmal komputer dan ruang kolaborasi bagi tujuan pemasaran kandungan secara kreatif, profesional dan lebih teratur.

Selain itu, Mohd Najwan berkata Hijrah Selangor merancang untuk memperluas model hab itu ke daerah tumpuan lain seperti Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat.

“Kita mahu melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya tahan, celik digital dan mampu bersaing dalam ekonomi masa hadapan, dengan sasaran memberi manfaat kepada lebih 4,000 usahawan menjelang 2030.

“Langkah strategik ini dijangka mampu melahirkan komuniti usahawan yang lebih kompetitif dan berupaya menembusi pasaran global melalui adaptasi teknologi digital yang lebih dinamik,” katanya.

Selain itu, Mohd Najwan berkata kejayaan inisiatif tersebut turut disokong disiplin tinggi usahawan di seluruh negeri itu dalam melunaskan tanggungjawab bayaran balik pinjaman kepada Hijrah Selangor.

Beliau berkata Hijrah Selangor telah menyalurkan 94,200 pembiayaan kepada lebih 62,000 usahawan dengan jumlah nilai keseluruhan mencecah RM915 juta dari 2015 hingga Mei lepas.

Sementara itu, Mearia berkata prestasi kewangan yang cemerlang itu memberikan keyakinan kepada pihak pengurusan Hijrah Selangor untuk terus menyediakan sokongan dana bagi memastikan momentum pertumbuhan perniagaan terus konsisten.

“Pihak kami (Hijrah Selangor) menerima bayaran balik mencecah 95 peratus sepanjang dua tahun lepas yang meyakinkan kami untuk menyediakan pembiayaan dan merangka pelbagai tawaran baharu.

“Selain itu, momentum bayaran balik yang konsisten juga membuktikan program yang diaturkan memberi impak positif kepada kelangsungan usahawan di Selangor,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan