Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ANGKASA Bakal Bentang Bajet Bernilai RM257 Juta Pada MAPA 2026

15/06/2026 04:49 PM

PETALING JAYA, 15 Jun (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) akan membentangkan bajet bernilai RM257 juta pada Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA Ke-40 (MAPA 2026), melibatkan beberapa projek strategik bagi memperkukuh ekosistem koperasi negara.

Presidennya Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata perkara itu akan dibawa kepada perwakilan untuk pertimbangan dan kelulusan pada mesyuarat itu yang dijadualkan berlangsung pada 27 Jun.

Beliau berkata antara komponen utama dalam pelan itu ialah pemilikan ekuiti dalam ekosistem perbankan digital, pelaksanaan projek takaful digital ANGKASA serta pembangunan projek Coopcity.

Ad Banner
Ad Banner

“Ini batu loncatan sebagai asas untuk kita bergerak pada masa akan datang bagi memenuhi tuntutan dan peluang sama ada pada peringkat dalam negara, rantau Asia mahupun antarabangsa,” katanya pada sidang media MAPA 2026 di sini hari ini.

Abdul Fattah berkata tiga komponen itu dilihat mampu memperkukuh kedudukan ANGKASA dalam sektor ekonomi digital selain membuka ruang baharu kepada gerakan koperasi untuk lebih berdaya saing.

Beliau berkata MAPA 2026 menjadi platform penting bagi mendapatkan mandat perwakilan dalam menentukan hala tuju strategik ANGKASA bagi 2027.

“MAPA 2026 juga akan membincangkan pelbagai perkara berkaitan tadbir urus, pengurusan dan Rancangan Perniagaan ANGKASA bagi Tahun Kewangan 2027 secara keseluruhan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata ANGKASA telah mengemukakan resolusi kepada kerajaan untuk mempertimbangkan peningkatan peruntukan pembangunan sektor koperasi kepada RM500 juta dalam Belanjawan 2027.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memperkukuh sumbangan sektor koperasi yang mempunyai kira-kira 7.3 juta anggota dalam pembangunan sosioekonomi negara.

MAPA 2026 akan berlangsung secara hibrid menerusi aplikasi Zoom Meeting dengan pusat siaran di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya.

Mesyuarat itu dijangka menghimpunkan 5,753 perwakilan koperasi daripada pelbagai sektor ekonomi bagi menilai pencapaian, membincangkan cabaran semasa serta menetapkan keutamaan gerakan koperasi negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan