Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PERSADA Pacu Digitalisasi Kesihatan, Sasar 81 Peratus Pesakit Terima Rawatan Dalam Tempoh Sejam

15/06/2026 05:56 PM

PUTRAJAYA, 15 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan 81 peratus pesakit menerima rawatan dalam tempoh sejam menerusi Program Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) yang dijangka dilaksanakan secara menyeluruh menjelang suku pertama 2027.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata inisiatif strategik antara KKM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu akan meningkatkan kesalinghubungan digital fasiliti kesihatan, sekali gus mengurangkan tempoh menunggu dan melancarkan perjalanan rawatan pesakit.

Beliau berkata manfaat pendigitalan mula diterjemahkan kepada pengalaman rakyat apabila data semasa menunjukkan 63 peratus pesakit menerima perkhidmatan dalam tempoh menunggu kurang daripada 30 minit manakala 18 peratus menerima perkhidmatan dalam tempoh antara 30 hingga 60 minit.

Ad Banner
Ad Banner

"Usaha transformasi digital yang sedang dilaksanakan oleh KKM mula menunjukkan hasil memberangsangkan. Sehingga April 2026, sejumlah 4.21 juta individu berdaftar dalam ekosistem digital kesihatan.

"Dalam tempoh sama, lebih 22.41 juta transaksi digital direkodkan dengan purata sekitar 75,000 transaksi setiap hari," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KKM dan MCMC bagi inisiatif PERSADA, di sini, hari ini.

MoU itu ditandatangani Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad serta disaksikan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Dzulkefly.

Dzulkefly berkata lebih 2,000 klinik kesihatan akan mendapat akses kepada sistem pengurusan klinikal berasaskan awan (CCMS), selain menyokong pelaksanaan rekod perubatan elektronik (EMR) yang membolehkan rekod pesakit diakses secara bersepadu antara hospital dan klinik awam.

Beliau berkata ketika ini 500 klinik kesihatan daripada lebih 3,000 klinik di seluruh negara mempunyai capaian digital, dengan Labuan dan Langkawi antara lokasi yang mencapai kesalinghubungan menyeluruh.

Dzulkefly berkata melalui PERSADA, kerjasama antara KKM dan MCMC akan memberi tumpuan kepada empat inisiatif utama iaitu peningkatan liputan dan kualiti capaian internet di fasiliti kesihatan awam dan memperkukuh pelaksanaan sistem EMR bagi menyokong kesinambungan rawatan pesakit.

Selain itu, beliau berkata tumpuan lain termasuk memperluas perkhidmatan telekesihatan melalui integrasi Sistem Pembantu Kesihatan Maya Malaysia (MyVAS) dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan meneroka penggunaan teknologi dron bagi penghantaran bekalan perubatan di kawasan yang sukar diakses, di samping memperkukuh pembangunan kapasiti dan kesiapsiagaan digital sektor kesihatan. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan