Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Masih Perhalusi Cadangan Pelaksanaan Cukai Karbon - Arthur

16/06/2026 01:46 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Kerajaan masih lagi memperhalusi cadangan pelaksanaan cukai karbon, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata cukai karbon yang turut mengambil kira kesiapsiagaan industri dan kerangka dasar itu sedang dibangunkan kerajaan, akan diteruskan pada masa hadapan.

“Cukai karbon hanya akan diteliti pelaksanaannya iaitu tempoh pelaksanaan. Kita akan tentukan masa, tetapi ia akan dilakukan akhirnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Industri Minyak Sawit (MPC) 2026 di sini hari ini. 

Ad Banner
Ad Banner

Turut hadir Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Arthur berkata pelaksanaan cukai karbon bukanlah bertujuan menghukum industri, sebaliknya insentif untuk menggalakkan penggunaan teknologi hijau dan mengurangkan pelepasan karbon.

Beliau berkata kerajaan juga sedang meneliti mekanisme penggunaan hasil daripada cukai karbon, dengan antara cadangan yang dipertimbangkan ialah menyalurkan hasil kepada projek adaptasi iklim, pemuliharaan hutan dan pengurusan tanah secara mampan.

Arthur berkata pendekatan itu penting, bagi memastikan hasil yang dikutip dapat dimanfaatkan semula untuk menyokong agenda kelestarian serta meningkatkan daya tahan negara terhadap perubahan iklim.

Pada 21 April, Arthur berkata kerajaan akan mengkaji semula cadangan pelaksanaan cukai karbon dengan mengambil kira krisis bekalan tenaga dan geopolitik ketika ini.

Beliau berkata cukai karbon itu yang pada awalnya dirancang diperkenalkan tahun ini dan disasarkan kepada industri terpilih seperti keluli, simen dan pembinaan, mungkin ditangguhkan bagi mengelakkan beban tambahan kepada industri dan pengguna.

Sementara itu, Arthur berkata Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tahun ini, bagi memperkukuh tadbir urus iklim negara dalam mendepani krisis iklim global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan