Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

76,361 Aduan Konflik Hidupan Liar Babitkan Kerugian RM58.7 Juta Direkodkan Sejak 2021

14/06/2026 09:50 PM

KOTA TINGGI, 14 Jun (Bernama) -- Sebanyak 76,361 aduan konflik hidupan liar direkodkan di seluruh negara dengan anggaran kerugian RM58.7 juta sejak 2021 hingga Mei lepas.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata daripada jumlah itu, 9,063 aduan konflik dilaporkan di Johor dengan kerugian mencecah RM7.5 juta.

“Justeru, konflik ini perlu ditangani segera kerana bukan sahaja boleh mengakibatkan kemusnahan tanaman pertanian dan kerosakan harta benda tetapi juga menyebabkan kecederaan serta kehilangan nyawa,” katanya ketika berucap di Pusat Santuari Gajah Johor di sini semalam.

Ad Banner
Ad Banner

Arthur berkata konflik manusia dan hidupan liar melibatkan kera, gajah, babi hutan, Harimau Malaya dan tapir menunjukkan trend yang semakin membimbangkan.

Beliau berkata situasi itu berlaku disebabkan kehilangan habitat hidupan liar akibat perubahan guna tanah bagi aktiviti pertanian, perladangan serta pembangunan infrastruktur linear seperti jalan raya, empangan, penempatan manusia dan perbandaran.

“Sebagai contoh, gajah memerlukan kawasan keliaran yang luas antara 10 hingga 250 kilometer persegi, bergantung kepada sumber makanan serta komposisi kumpulan yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata kementerian itu telah menjalankan pelbagai inisiatif bagi menangani konflik manusia dan hidupan liar, terutama gajah seperti membangunkan Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (NECAP), menubuhkan santuari gajah dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) di Lanchang, Pahang serta membangunkan Sistem Pagar Elektrik Gajah, selain penubuhan jawatankuasa khas oleh Johor tahun lepas.

“Pendekatan kolaboratif antara kerajaan negeri, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Kementerian Pengangkutan dan Perbadanan Aset Keretapi juga adalah penting dalam menangani isu perlintasan tidak terkawal gajah di Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, khususnya di kawasan panas Labis-Bekok-Paloh dan Mengkibol-Renggam,” katanya.

Pada majlis itu, Arthur turut menyampaikan Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) kepada sembilan pemohon berjumlah RM79,600.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan