PUTRAJAYA, 16 Jun (Bernama) -- Organisasi media perlu mengekalkan keseimbangan antara kepantasan, ketepatan dan usaha mengelakkan kemudaratan dalam pelaporan berita pada era penyebaran maklumat yang begitu pantas menerusi media sosial.
Bercakap kepada Bernama selepas sesi pleno bertajuk The Editor’s Dilemma - Balancing Speed, Accuracy and Harm Prevention, yang diadakan sempena Dialog Industri Media 2026 bertemakan Balancing Virality & Responsibility: Journalism Amid Speed, Trust & Impact di sini hari ini, beberapa ketua pengarang berkongsikan pandangan mengenai cabaran dihadapi oleh bilik berita dalam menangani maklumat palsu dan kandungan tular.
Timbalan Pengarang Eksekutif The Star Dr Christina Chin berkata satu daripada cabaran utama dihadapi organisasi media ialah kekangan sumber dan masa dalam menangani kandungan tular.
“Apabila sesuatu kandungan tular, ia tersebar dengan begitu pantas. Kita cuba sedaya upaya tetapi kita bergantung kepada pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata organisasi media perlu menerapkan tiga langkah pendekatan iaitu menyiarkan terlebih dahulu maklumat yang telah disahkan, diikuti semakan fakta serta laporan susulan sebelum menerbitkan laporan yang lebih komprehensif setelah maklumat rasmi diperoleh.
“Walaupun kita mahu menyampaikan berita dengan pantas, kita tidak akan sesekali mengabaikan ketepatan. Kita kena berlandaskan fakta dan kita kena menjelaskan bahawa terdapat beberapa perkara yang belum dapat dipastikan, namun kita sedang melakukan semakan lanjut mengenainya. Jadi, yang itu kita siarkan,” katanya.
Chin berkata media arus perdana tidak mampu bersaing dengan netizen dari segi kepantasan kerana wartawan perlu mengesah dan menyemak maklumat namun media arus perdana mampu bersaing dari segi kepercayaan dan profesionalisme.
Sementara itu, Ketua Pengarang Astro Awani Zaiful Ariffin berkata media yang terlalu mengejar kepantasan tanpa memikirkan ketepatan boleh menjejaskan kredibiliti organisasi media itu sendiri.
“Cuba bayangkan apabila media terlalu mahu cepat tanpa memikirkan tentang ketepatan... terus kongsi dan buat hantaran, sudah tentunya hal ini akan memberikan satu kesan yang besar dan kemudian apabila tahu perkara itu tidak tepat dan tidak benar, kena nafikan,” katanya.
Beliau berkata golongan warga emas antara yang lebih mudah terdedah kepada maklumat tidak sahih kerana kebanyakannya memperoleh maklumat menerusi kumpulan WhatsApp yang tidak diketahui kesahihannya.
“Kita perlu mendidik mereka (golongan warga emas). Tingkat kesedarakan kepada ibu bapa supaya sebelum mereka kongsikan atau pembaca menganggap satu-satu laporan itu betul semak dahulu,” katanya.
Zaiful berkata akta berkaitan penyebaran berita palsu ketika ini adalah mencukupi, namun penguatkuasaan perlu diperkasakan selain meningkatkan kesedaran awam, sambil melahirkan kebimbangan terhadap generasi muda yang lebih cenderung mendapatkan maklumat melalui media sosial berbanding sumber berita asal.
“Organisasi media, kita perlu memainkan peranan supaya daripada FYP (halaman utama) mereka, kita akan dapat juga sekurang-kurangnya kandungan daripada media yang dia boleh dapatkan laporan-laporan yang benar,” katanya.
Ketua Pengarang Vanakkam Malaysia M. Thiaga Rajan pula berkata cabaran paling runcing yang dihadapi organisasi media ketika ini ialah mencari keseimbangan antara menghasilkan kandungan berpotensi menjadi tular dan tanggungjawab kepada masyarakat.
“Apabila ada keseimbangan itu, kita boleh menjalankan operasi kita dengan tidak memberi kemudaratan kepada mana-mana pihak,” katanya.
Beliau berkata setiap kandungan yang tular perlu disemak terlebih dahulu bagi memastikan kesahihannya sebelum diterbitkan dan mengambil kira kesannya terhadap keharmonian masyarakat, sambil menegaskan bahawa undang-undang sedia ada adalah mencukupi namun penguatkuasaan perlu diperketat bagi membendung penyebaran maklumat tidak sahih.
"Pada pandangan saya, aspek penguatkuasaan perlu diberi penekanan supaya ada batasan dalam penyebaran maklumat yang tidak sahih," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial