Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PBAPP Labur Hampir RM2.9 Bilion Laksana 12 Projek Air

16/06/2026 05:52 PM

GEORGE TOWN, 16 Jun (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) melabur hampir RM2.9 bilion bagi melaksanakan 12 projek bekalan air utama dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memastikan Pulau Pinang mempunyai sumber air mencukupi untuk menyokong pertumbuhan pesat ekonomi negeri menjelang 2031.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP K. Pathmanathan berkata penggunaan air di Pulau Pinang dijangka meningkat sebanyak 34.3 peratus, daripada 865 juta liter sehari (JLH) pada 2025 kepada sekurang-kurangnya 1,162 JLH menjelang 2032.

“Trajektori pertumbuhan sosioekonomi Pulau Pinang menuju 2032 tidak boleh dikompromi atau tertangguh akibat kekangan bekalan air. Justeru, PBAPP bersama Kerajaan Persekutuan komited sepenuhnya untuk menyiapkan 12 projek air utama menjelang 2031 bagi memenuhi unjuran peningkatan penggunaan air,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-26 PBA Holdings Bhd (PBAHB) di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Pathmanathan berkata enam projek di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) sedang dilaksanakan PBAPP, termasuk pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Taman Mengkuang, LRA Sungai Kerian, Skim Bekalan Air Sungai Perai serta LRA Sungai Muda.

Menurutnya, projek-projek berkenaan akan meningkatkan kapasiti maksimum rawatan air PBAPP sebanyak 478 JLH, selain mengurangkan kebergantungan kawasan Seberang Perai terhadap bekalan air terawat daripada LRA Sungai Dua.

Beliau berkata PBAPP turut melaksanakan dua projek saluran paip utama air terawat yang membolehkan sehingga 600 JLH air disalurkan dari Sungai Dua ke bahagian pulau menjelang 2030, berbanding kapasiti 400 JLH ketika ini. Selain itu, sebuah lagi LRA berkapasiti 80 JLH di Sungai Kerian sedang dibangunkan menerusi kaedah Bina-Kendali-Pindah (BOT).

Pathmanathan berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) pula melaksanakan lima projek utama, termasuk pembinaan empangan baharu di Sungai Muda, pembesaran Empangan Mengkuang, pembangunan sumber air mentah Sungai Kerian, kerja-kerja pembinaan muka sauk di Teluk Bahang serta kajian komprehensif sumber air mentah Pulau Pinang.

Sementara itu, Chow berkata PBA Holdings Bhd (PBAHB) mencatatkan hasil sebanyak RM568.44 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025, meningkat daripada RM527.60 juta pada tahun sebelumnya, dengan kira-kira 85 peratus atau RM483.20 juta dijana oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menerusi jualan air.

Beliau berkata PBAHB mengumumkan dividen berjumlah lima sen sesaham bagi tahun kewangan 2025, termasuk dividen akhir 2.75 sen sesaham yang diluluskan pemegang saham hari ini, menjadikan jumlah pembayaran dividen RM9.1 juta yang akan dibuat pada 24 Julai ini, meskipun berdepan peningkatan perbelanjaan cukai.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan